KUALA LUMPUR - Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali hari ini mengancam untuk mendedahkan bukti bahawa Kerajaan Persekutuan sengaja melengah-lengahkan perjanjian penstrukturan air.

Menurut Azmin, perkara tersebut terpaksa dilakukan ekoran tindakan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) sering berdolak-dalik dan menukar pendirian mereka.

Jelas beliau, Kerajaan Persekutuan merupakan pihak yang perlu dipersalahkan atas kelewatan perjanjian tersebut dimuktamadkan.

“Saya boleh mendedahkan banyak bukti yang menunjukkan kerajaan Persekutuan berdolak-dalik dan sengaja melengahkan.

“Sekiranya perkara ini tidak dapat diselesaikan, saya tidak ada pilihan melainkan memberitahu kepada umum tentang tindakan-tindakan yang tidak bertanggungjawab yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika ditemui di Parlimen di sini hari ini.

Tambah Mohamed Azmin, antara contoh yang menunjukkan sikap berdolak-dalik Kerajaan Persekutuan ialah sebelum ini kerajaan Pusat dan Negeri telah bersetuju aset-aset syarikat konsesi (CCWA) diserahkan tanpa tanah dan persetujuan telah dicapai.

Jelas Azmin, beliau telah mendapat surat daripada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili bertarikh 3 Jun menyatakan penyerahan CCWA ini dibuat tanpa tanah.

“Tetapi hari ini saya mendapat notis daripada Jabatan Peguam Negara bahawa aset-aset air syarikat konsesi ini mesti diserahkan dengan tanah.

“Jadi sampai bila perkara ini boleh dimuktamadkan dan jangan dipersalahkan Kerajaaan Negeri Selangor,” ujarnya.

Kata Azmin lagi, sikap berlengah-lengah Kerajaan Persekutuan tersebut amat mengecewakan kerana pihaknya cuba sedaya-upaya untuk memuktamadkan perjanjian itu secepat mungkin.

“Saya sendiri mengambil tanggungjawab bukan saja berbincang dengan menteri tetapi bertemu dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sebagai jawatankuasa kabinet mengenai air.

“Namun belum ada satu perkembangan positif malahan kementerian masih tetap berdolak-dalih,” tegasnya.