Rabu, 8 Julai 2015

Ahli PAS perlu contohi Hassan Shukri yang sanggup jadi 'khadam' selepas tewas - Idris Ahmad

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

 
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Pergolakan dalam PAS yang belum menampakkan tanda-tanda pemulihan boleh diselesaikan sekiranya pihak yang terlibat dengan usaha mewujudkan parti baru kembali ke landasan asal perjuangan dengan meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi.
 
Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata walaupun tewas pada pemilihan parti yang berlangsung Jun lalu ia bukan alasan untuk keluar PAS dengan menebus kekecewaan menubuhkan sebuah parti baru.
 
Tambah beliau, bekas Timbalan Presiden PAS Allahyarham Hassan Shukri adalah contoh pemimpin yang perlu diikuti anggota parti yang kekal dengan perjuangan meskipun mengalami kekalahan.
 
"Mungkin orang yang cakap begitu orang yang tak pernah melihat bagaimana sejarah pertandingan dalam PAS.
 
"Kalau ingat ketika Allahyarham Datuk Hasan Shukri yang kita anggap sebagai otai dan senior dalam PAS, dia merupakan individu yang terlibat dalam PAS selepas balik dari luar negara dan mempunyai kelulusan BA waktu itu," katanya dalam temubual bersama Antarapos.
 
Sebaliknya beliau beranggapan masalah dalaman yang berlaku dapat diselesaikan, namun sifat keikhlasan, kejujuran dan meletakkan agenda parti melebihi agenda peribadi menjadi kunci penyelesaian masalah itu.
 
"Waktu itu kerja mencari kita bukan kita mencari kerja tapi dia sanggup untuk mengorbankan masa depan dia bersama-sama dengan PAS dan bekerja dengan PAS.
 
"Ketika itu kalau tak silap saya gaji RM250 sahaja yang anak-anak dia makan atas hasil itu dan sebagainya," katanya.
 
Idris berkata demikian bagi mengulas mengenai sesetengah pemimpin yang kalah terutama dari kumpulan progresif, yang masih mengkritik kepimpinan PAS secara terbuka walaupun pemilihan sudah sebulan berlalu.
 
Selain itu, Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) yang dianggotai sebilangan ahli PAS bakal bergabung dengan kumpulan bekas pimpinan parti itu dinamakan G18 dalam usaha menggerakkan penubuhan sebuah parti baru.
 
Sebelum ini PasMa yang diterajui Datuk Phahrolrazi Zawawi mengumumkan untuk menubuhkan sebuah parti politik baru bagi menggantikan peranan PAS dalam pakatan pembangkang.
 
Rentetan daripada itu, beberapa pemimpin PAS dari kumpulan progresif yang tewas dalam pemilihan parti berhasrat membentuk sebuah gerakan dikenali G18 yang diketuai bekas timbalan presiden Mohamad Sabu.
 
Kumpulan itu dikatakan akan mengadakan jelajah di seluruh negara, mempromosi kempen mereka untuk satu politik ‘Harapan Baru’ atau ‘Harapan dan Impian Baru’ selepas sambutan Aidilfitri.
 
Contohi keikhlasan Allahyarham Hassan meskipun tewas kepada orang baru
 
Ujar Idris lagi, Hassan yang pernah memegang beberapa jawatan utama dalam PAS tidak berasa kecewa apabila tewas kepada Nasharudin Mat Isa dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden pada 2005.
 
"Dia merupakan orang yang senior dalam PAS malahan dia lebih senior daripada Allahyarham presiden sebelum ini tiba-tiba dia kalah pemilihan Timbalan Presiden dengan orang yang agak junior iaitu ustaz Nasharudin Mat Isa," katanya.
 
Sebaliknya jelas Ahli Parlimen Bukit Gantang, Hassan kekal bersama PAS dengan menunjukkan asas perjuangannya tidak pernah berubah serta ikhlas dalam setiap tindakan yang diambilnya.
 
"Alhamdulillah dia boleh tunjuk komitmen yang baik, lepas kalah pemilihan esoknya dia turun bersih markas dan sebagainya biasa sahaja.
 
"Kemudian orang lantik dia sebagai jawatankuasa, kalau fikir nak merajuk saya pun belum tentu sampai tahap demikian," katanya.
 
Justeru tegas Idris, semangat tersebut perlu disemai dalam setiap ahli PAS selain bergerak sebagai satu pasukan dan tidak mempunyai sifat mementingkan diri semata-mata kerana mengejar jawatan.
 
"Tapi kita anggap ini satu perkara yang pada saya mengajar kita bagaimana bentuk pengorbanan, mungkin saya boleh cakap begitu sebab saya belum pernah alami macam dia.
 
"Tapi dia telah buktikan bagaimana bentuk keikhlasan yang ada pada dia dalam perjuangan sehingga sanggup menjadi khadam atau orang biasa daripada orang senior kalah dengan orang junior," katanya.
 
 
 

Tiada ulasan: