Khamis, 16 Julai 2015

540,000 tan makanan akhirnya jadi sampah

MALAYSIAKINI


 


Kira-kira 540,000 tan makanan yang tidak dihabiskan atau diusik dalam tempoh dua bulan iaitu sepanjang Ramadan hingga akhir Syawal akan berakhir ke tapak pelupusan, demikian menurut penyelia sisa pepejal Solid Waste Corporation (SWCorp).

Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Datuk Ab Rahim Md Noor berkata berdasarkan statistik ketika musim perayaan seperti Aidilfitri, rakyat Malaysia membazirkan kira-kira 9,000 tan makanan setiap hari, iaitu peningkatan 1,000 tan berbanding hari biasa 8,000 tan.

Katanya amalan 'biar berlebih makanan, jangan tidak cukup' harus dikikis ketika mengadakan rumah terbuka sempena Hari Raya bagi mengurangkan pembaziran makanan dan pada masa sama menjimatkan kos.

"Ramai masih mengamalkan budaya biar berlebih makanan, jangan tidak cukup kerana tidak mahu tanggung malu ketika mengadakan rumah terbuka pada musim perayaan.

"Apabila kita sedar (berlebihan makanan) satu pembaziran, kita tidak akan rasa malu lagi kerana kita melakukannya bagi tujuan mulia untuk mengurangkan sisa makanan. Masyarakat harus memainkan peranan untuk membelanjakan makanan mengikut keperluan bagi mengelakkan pembaziran," katanya kepada Bernama.

Ab Rahim mencadangkan agar mereka yang bakal mengadakan rumah terbuka sempena Hari Raya mewujudkan rancangan luar jangka, sekiranya takut menanggung malu apabila makanan yang disediakan tidak mencukupi.

"Mereka boleh menyediakan main dish yang secukupnya dan pada masa yang sama menghidangkan makanan yang senang dimasak untuk refill. Mereka juga boleh menghidangkan buah," katanya.

Sehubungan itu, Ab Rahim berkata SWCorp sedia bekerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk memberi kesedaran terhadap masyarakat Malaysia bagi mengelakkan pembaziran makanan dan mengurangkan jumlah sisa makanan dihantar ke tapak pelupusan.

"Kalau ada NGO-NGO yang boleh menyimpan makanan berlebihan untuk diedarkan kepada mereka yang memerlukan, ini boleh mengurangkan pembaziran makanan.

"Semakin ramai orang kini bercakap mengenai pembaziran makanan. Segelintir mula rasa bersalah kerana membazirkan makanan. Bagaimanapun, ia akan mengambil masa sedikit untuk mengubah tabiat," katanya.

Pada musim perayaan ini, Ab Rahim juga menyarankan rakyat Malaysia agar mengasing dan menguruskan sampah dengan lebih baik bagi mengurangkan pencemaran alam sekitar.

"Sisa makanan dan sisa pepejal yang boleh dikitar semula harus diasingkan. Sampah yang tidak diasingkan akan menyukarkan proses kitar semula dan pada masa yang sama, ia akan menelan kos operasi tinggi (proses kitar semula)," katanya.

Di Malaysia, 33,000 tan sampah dikumpul sehari dan kerajaan membelanjakan RM1.4 bilion setahun untuk tujuan pengurusan sisa pepejal.

Mengikut kajian komposisi sisa pepejal yang dijalankan pada 2012, sebanyak 30 peratus daripada sisa yang dilupuskan adalah bahan yang berpotensi untuk dikitar semula. - Bernama


 

Tiada ulasan: