KUALA LUMPUR- Sebanyak 3,195 cawangan menghantar pencalonan bagi pemilihan peringkat cawangan MIC sepanjang tempoh tiga hari pencalonan bermula Jumaat hingga petang ini, kata Pemangku Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam.


Beliau berkata, jumlah itu mewakili 75 peratus daripada keseluruhan 3,970 cawangan yang ada dan beliau berpuas hati terhadap pencalonan yang dilakukan.

Katanya, 785 cawangan tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam proses berkenaan berikutan pelbagai isu termasuk cawangan tidak sah yang ditubuhkan pada 2013, selain cawangan luput.

“Bagus sebenarnya bila banyak cawangan mengambil bahagian dalam proses pemilihan, terutama ketika landskap politik tidak menentu.

“Proses pemilihan secara keseluruhan berjalan lancar selain satu atau dua insiden kecil yang berlaku di Kedah dan Pulau Pinang,” katanya.

Subramaniam menegaskan, kejayaan itu adalah hasil pertemuannya dengan semua pengerusi cawangan sebanyak tiga kali sebelum bermulanya pencalonan untuk menjelaskan situasi sebenar dalam parti.

“Saya gembira kita dapat mengatasi halangan utama. Pemilihan cawangan adalah asas segalanya. Jika ini selesai, tidak akan ada masalah bagi pemilihan jawatankuasa kerja pusat, bahagian dan presiden,” katanya.

Malah, kata Subramaniam, Kelantan dan Terengganu tidak mencatatkan sebarang cabaran, begitu juga 85 peratus cawangan di Pahang tidak dicabar.

Berikutan itu, beliau menjangkakan pemilihan hanya akan dibuat di 20 hingga 30 cadangan, sebaik proses pemilihan berakhir.

Katanya, pengumuman maklumat terperinci jumlah keluar mengundi akan dibuat di ibu pejabat parti petang esok.

Tegasnya, situasi itu jelas menunjukkan ahli akar umbi inginkan penyatuan dalam parti dan bukan didorong oleh perselisihan.

Beliau berkata, mungkin terdapat beberapa isu-isu fahaman berpuak-puak semasa pencalonan di cawangan-cawangan tertentu tetapi kepada keseluruhan tidak memberi kesan yang besar.

Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Interim 2009 akan memberi peluang kepada mana-mana pihak yang ingin membuat bantahan bermula 9 pagi Isnin hingga 1 petang Khamis depan.

“Mana-mana cawangan yang membuat aduan dan disertakan dengan dokumen yang sah mereka boleh membuat bantahan dan akan disiasat oleh Jawatankuasa Resolusi Pertikaian yang telah kita tubuhkan,” katanya.

Mengulas mengenai pencalonan yang dibuat Datuk Seri G Palanivel, Subramaniam berkata, ia tiada kena mengena dengannya.

“Kita diiktiraf Pandaftar Pertubuhan, bukan mereka. Hanya keputusan kita yang sah.

“Mereka yang terbabit dalam dua-dua pencalonan perlu membuat keputusan. Namun, mereka harus ingat bahawa CWC Interim 2009 adalah satu-satunya parti yang disahkan untuk mengendalikan pemilihan parti,” kata Subramaniam