Sabtu, 11 Julai 2015

1MDB: Akaun Jho jadi tumpuan siasatan

1MDB WSJ
 
 
 
SHAH ALAM - Akaun bank Jho Low didakwa menjadi tumpuan utama bagi pasukan penyiasat Singapura dan Malaysia dalam menyiasat dakwaan penyelewengan yang berlaku dalam badan pelaburan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
 
Memetik daripada laporan sebuah portal, perkara tersebut didedahkan menerusi laporan portal antarabangsa, Wall Street Journal berdasarkan dokumen berkaitan siasatan ke atas isu terbabit.
 
“Maklumat tersebut mendedahkan individu berkenaan, yang dIkenali sebagai Jho Low yang dipercayai membantu menubuhkan 1MDB, mempunyai lebih daripada AS$500 juta (RM1.9 bilion) dalam akaun peribadinya.

Maklumat berkenaan jumlah wang dalam akaun Jho Low, menjadi tumpuan siasatan polis Singapura dan Bank Negara Malaysia (BNM), selepas polis Malaysia meminta kerjasama Singapura untuk membantu menyiasat dana terbabit,” katanya seperti yang dipetik menerusi laporan terbabit.
 
Low sebelum ini menafikan sebarang penglibatan dalam 1MDB dan mempertahankan beliau tidak mempunyai sebarang jawatan rasmi dalam syarikat berkenaan.
 
Low sebaliknya mengaku bahawa dia hanya penasihat kepada badan tersebut.
 
Wall Street Journal pada minggu lalu mendakwa siasatan ke atas 1MDB mengesan hampir AS$ 700juta (RM2.6 bilion) dipindahkan ke dalam akaun peribadi dipercayai milik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
 
Bagaimanapun dakwaan tersebut telah disangkal oleh Najib sendiri.
 
 

Tiada ulasan: