Isu MB Selangor
 
 
 
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Pimpinan tertinggi PKR dan DAP akan memohon menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk memaklumkan tentang pelucutan lima wakil mereka sebagai Exco Selangor semalam.

Bekas Exco Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, pemecatan yang dilakukan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul khalid Ibrahim semalam tidak sah dan tidak mengikut artikel 53 (2) B Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

"Langkah seterusnya kita akan maklumkan kepada Sultan Selangor bahawa dia telah hilang kepercayaan daripada majoriti Adun Selangor.

"Saya akan serahkan perkara ini kepada pimpinan tertinggi parti (PKR dan DAP) untuk atasi isu ini selepas tindakan sewajarnya diambil.

"Kemudian pimpinan kami perlu menulis surat kepada Istana buktikan bahawa majoriti Adun Selangor sudah hilang kepercayaan terhadap Abdul Khalid," katanya kepada pemberita di lobi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Hadir sama, dua Exco DAP iaitu Ean Yong Hian Wah dan Ganabatirau Veraman manakala dua lagi Exco PKR iaitu Elizabeth Wong dan Dr Daroyah Alwi

Semalam, Abdul Khalid bertindak memecat enam Exco PKR dan DAP, berkuat kuasa serta-merta.

Menurut beliau, semua surat sudah dihantar kepada lima Exco iaitu tiga dari DAP dan dua dari PKR manakala surat kepada seorang lagi Exco PKR masih belum dihantar kerana beliau berada di luar negara.

Sebelum itu, Exco PKR dan DAP Selangor dalam satu kenyataan berkata, mereka tidak akan bertemu dengan Abdul Khalid kecuali mesyuarat mingguan Exco bagi mengelakkan sebarang perbincangan mengenai sokongan mereka terhadap Adun Pelabuhan Klang itu.

Dalam pada itu, Chang Kim juga menyifatkan tindakan Abdul Khalid itu sebagai rampasan kuasa kerajaan PR di Selangor sedangkan pada PRU13, rakyat memberikan mandat kepada mereka dan bukannya Abdul Khalid.

Sehubungan itu, beliau dan Exco lain yang dipecat juga menggesa Abdul Khalid meletakkan jawatannya secara terhormat bagi mengelakkan tindakan mahkamah diambil.

"Kita cuba selesaikan isu ini dengan rundingan politik, kalau tidak selesai kita akan bawa ke mahkamah," katanya lagi.