Jumaat, 22 Ogos 2014

Azmin mahu Pakatan rampas DUN Pengkalan Kubor

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic



SHAH ALAM: Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali yakin Pakatan Rakyat (Pakatan) mampu merampas kembali kerusi DUN Pengkalan Kubor dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) akan datang.
"Saya percaya rekod dan prestasi kerajaan Pakatan Kelantan, kita boleh ambil semula kerusi tersebut.
"Saya tak nampak halangan besar untuk Pakatan Rakyat ambil balik," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kongres AMK, pagi tadi.
Menurut Azmin lagi, sehingga kini perbincangan khusus bagi meletakkan calon Pakatan untuk bertanding di dalam PRK DUN berkenaan masih belum dilakukan.
"Saya sudah maklumkan kepada  Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam pertemuan dengan beliau semalam, dan kita akan bincang secara khusus lepas kongres ini," kata beliau.
PRK DUN Pengkalan Kubor akan diadakan berikutan kematian penyandangnya dari Barisan Nasional (BN) Datuk Noor Zahidi Omar, Rabu lalu, akibat kanser hati.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13, Zahidi menang dengan majoriti 1,736 menewaskan calon daripada PKR dan Bebas dalam pertandingan tiga penjuru memperolehi 10, 174 undi.
Sementara itu, mengulas ringkas berhubung krisis politik di Selangor, Azmin menyifatkan krisis tersebut sebagai 'peluang' untuk Pakatan memperbaiki diri.
"Saya cukup yakin krisis ini boleh dilihat dalam konteks peluang, bukan kelemahan.
"Dalam keadaan biasa kita lihat ia satu masalah. Saya mencabar diri saya dan pimpinan untuk melihat dalam konteks lebih positif untuk refleks dan melihat kembali polisi kita," katanya enggan mengulas lanjut kerana beralasan keputusan telah pun dibuat secara konsensus, minggu lalu.

Tiada ulasan: