Jumaat, 22 Ogos 2014

Noh sedar BN tidak boleh ulang sejarah di Perak

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Kemelut yang dialami Pakatan Rakyat (Pakatan) di Selangor kini bukanlah titik tolak untuk mengulangi sejarah 'langkah Perak' yang berlaku pada 2009.
 
Justeru Ketua Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata Barisan Nasional (BN) di negeri itu hanya mampu menjadi pemerhati kepada krisis yang dihadapi Pakatan.
 
"Tidak kira apa kita mungkin boleh buat, kita tetap akan kekal sebagai pembangkang. Kita sedar jumlah kerusi kita. Kami hanya mempunyai 12 daripada 56 kerusi DUN dalam kerajaan negeri," katanya kepada The Malaysian Insider. 
 
Pada masa sama, Ahli Parlimen Tanjong Karang itu berkata tidak timbul isu untuk mengadakan kerjasama perpaduan bersama-sama PAS yang disifatkannya sebagai tidak membawa apa-apa makna kerana jika digabung kerusi BN dan PAS jelas masih gagal membentuk dua pertiga. 
 
"Ini bukan seperti di Perak pada 2009, ketika perbezaan antara PR dan BN sangat kecil, dan BN berupaya mengambil alih kerajaan Perak melalui tiga Adun yang melompat parti.
 
"Isu bekerjasama dengan PAS tidak timbul," jelasnya.
 
Bagaimanapun drama yang dipaparkan PR ini tidak akan menggugat kedudukan BN di negeri itu, tambah Noh sebaliknya akan tetap menumpukan perhatian untuk kelangsungan rakyat.
 
"Kita hanya boleh memerhatikan saja mereka, fokus kepada menjadi pembangkang yang baik dan memastikan kerajaan (BN) kekal stabil.
 
"Kita sedar ini permainan mereka. Kenapa kita perlu masuk campur medan tempur mereka? Kalau PAS atau DAP jadi menteri besar sekalipun, kami tetap pembangkang," ujarnya.
 
Noh dalam pada itu menegaskan tidak akan menerima jawatan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (exco) jika ditawarkan oleh Menteri Besar Bebas, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. 
 
"Umno tidak akan mengikut rentak PR. Kami tidak akan terbabit dengan masalah dalaman mereka," tegasnya.
 
Untuk rekod, Sultan Selangor dijangka berangkat pulang ke tanah air esok (Sabtu) dan situasi di Selangor bergantung kepada keputusan baginda kelak.
 
Pada 11 Ogos lalu, Sultan Selsngor perkenan meneruskan khidmat Khalid sebagai menteri besar selepas Khalid memaklumkan masih lagi menerima sokongan majoriti DUN.
 
Khalid kekal sebagai menteri besar daripada blok Bebas buat masa ini, dan menguruskan kerajaan negeri bersama empat exco PAS selepas beliau memecat enam exco daripada PKR dan DAP pada 12 Ogos lalu.
 
Ahad lalu, PR mencalonkan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti Khalid, yang dipecat keahliannya pada 9 Ogos.

Tiada ulasan: