Selasa, 12 Mac 2013

Zahid nafi tuduhan Rafizi, nafi LTAT dipengaruhi pihak luar

Oleh Md Izwan

KUALA LUMPUR— Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menolak dakwaan oleh Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli yang mengatakan terdapat banyak keraguan dalam urusniaga pelaburan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sambil mengulangi pendirian bahawa keputusan syarikat tersebut tidak pernah dipengaruhi mana-mana pihak luar.

Kenyataan Ahmad Zahid (gambar) hari ini susulan pendedahan Rafizi bulan lalu selepas mendapat akses menyemak dokumen perjanjian urusniaga pembelian tanah, yang mengatakan terdapat banyak keraguan melibatkan urusniaga pembelian tanah oleh anak syarikat, Boustead Holdings Bhd dengan Senator Umno Datuk Raja Ropiaah Abdullah.

“Saya ingin menyatakan sekali lagi terhadap tohmahan daripada seorang yang mengaku pengarah strategik sebuah parti, terbukti daripada prestasi LTAT yang diumumkan hari ini wang daripada LTAT tidak pernah digunakan  untuk membeli aset seperti yang dituduh oleh beliau,” kata Ahmad Zahid yang membidas Rafizi semasa mengumumkan dividen 16 peratus serta pembayaran berjumlah RM759.3juta kepada pencarum di Kementerian Pertahanan hari ini.

Menteri pertahanan itu juga menafikan tuduhan Rafizi yang mengatakan langkah Boustead membeli hartanah tersebut adalah bagi menyelamatkan kroni-kroni dalam Umno, sebaliknya menegaskan pembelian tersebut dilakukan selepas unjuran keuntungan dikaji sebelum membuat pembelian.

“Nilai pasaran kepada hartanah itu melebihi daripada harga pembelian hartanah dan juga pembayaran kepada pembelian syarikat berkenaan.

“Ianya dibuat berdasarkan kepada unjuran keuntungan yang akan diperoleh daripada kenaikkan harga pasaran bagi hartanah berkenaan. Ertinya ‘capital gain’, kenaikkan modal diperolehi daripada transaksi perniagaan itu,” tambah Ahmad Zahid.

Rafizi baru-baru ini mendapat pegangan 100 unit saham Boustead yang bernilai RM527 telah mendedahkan beberapa  klausa-klausa dalam Perjanjian Pertama yang memberi keuntungan beratus juta ringgit kepada Senator Datuk Raja Ropiaah selain daripada pembayaran RM130 juta seperti yang telah diumumkan sebelum ini.

“Saya benar-benar terkejut dengan beberapa urusniaga yang sebelum ini disembunyikan dari pengetahuan umum dan pemegang saham yang lain kerana tidak difailkan kepada Bursa Malaysia.

“Urusniaga-urusniaga ini dirancang dan dimeterai dengan satu tujuan iaitu memberikan durian runtuh kepada Raja Ropiaah Raja Abdullah, Ketua Wanita Umno Selangor,” kata Rafizi bulan lalu.

Walau bagaimanapun, Ahmad Zahid menolak dakwaan yang dilakukan oleh Rafizi tersebut serta menegaskan sebarang keputusan oleh LTAT tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak luar serta mencabar pemimpin PKR tersebut untuk berhadapan dengannya di mahkamah atas kes saman fitnah yang difailkan.

“LTAT sebuah syarikat yang telus, keputusannya tidak dipengaruhi perdana menteri, menteri pertahanan ataupun mana-mana arahan pihak luar.

“Saya sedang menunggu tarikh yang telah yang akan ditetapkan pihak mahkamah, saya akan jumpa dia di mahkamah... Kalau menang di pilihan raya, saya mahu jumpa dia di parlimen,” tegas Ahmad Zahid.

Disember lalu, Rafizi mendedahkan individu tertinggi dalam kerajaan menyalah guna kuasa apabila menggunakan wang pencen anggota tentera untuk menutup mulut usahawan permaidani Deepak Jaikishan dari terus membuat siri pendedahan berkaitan skandal pembunuhan Altantuya Shariibuu.

Menurut Rafizi, wang pencen itu digunakan dalam urus niaga melibatkan bayaran RM30 juta untuk membeli 80 peratus saham terbitan Astacanggih dan RM130 juta untuk membeli 200 ekar tanah dari Awan Megah Sdn Bhd (Awan Megah).

Urus niaga itu, katanya, dibiayai sepenuhnya oleh Bakti Wira Development Sdn Bhd, sebuah syarikat pelaburan hartanah miliki penuh Boustead, milik LTAT.

Tiada ulasan: