Rabu, 27 Mac 2013

Wartawan veteran Zainon Ahmad meninggal dunia

SINAR HARIAN

KOTA BHARU - Editor perunding akhbar The Sun, Zainon Ahmad, 70, meninggal dunia hari ini akibat kanser hati.

Menurut anak ketiganya, Zuhailawati, Allahyarham meninggal dunia pada pukul 2.25 petang ini di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini.

Beliau berkata bapanya dimasukkan ke hospital itu selepas mengadu sakit dada ketika berada di rumahnya di Jalan Bayam di sini, pada pukul 1 pagi semalam.

Pengarah HRPZII Datuk Dr Mohd Ghazali Hasni Mat Hassan mengesahkan Zainon meninggal dunia di Wad Rawatan Rapi Temenggung pada pukul 2.25 petang ini.

Berada di sisi Allahyarham ialah isterinya Hasnah Abdullah, 65, dan tiga anaknya.
  
Menurut Zuhailawati, jenazah bapanya akan dibawa ke rumah mereka di Jalan Bayam di sini, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Banggol, Kota Baharu, esok.

Zuhailawati berkata, bapanya sudah lama menghidap kanser hati dan penyakit berkenaan mula serius sejak Oktober lepas.

Beliau berkata, sebelum ini bapanya menerima rawatan di sebuah pusat rawatan swasta di Subang Jaya, Selangor.

Zainon yang pernah menjadi guru selama tiga tahun sebelum menyertai dunia kewartawanan 35 tahun dulu merupakan Penolong Editor Kumpulan akhbar The New Straits Times. Beliau kemudiannya menjadi Ketua Pengarang akhbar The Sun pada 2002.

Beliau yang sering diundang untuk berucap mengenai peranan media dalam persidangan tempatan dan antarabangsa turut aktif dalam pelbagai program latihan untuk wartawan muda di dalam dan luar negara.

Beliau pernah memenangi Media Personality Award pada 2010. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sejarah dan Ijazah Sarjana dalam bidang Hubungan Antarabangsa dari Universiti Malaya.

Beliau pernah belajar mengenai pengurusan akhbar di Thomson Foundation, London dan menjadi felo di Fletcher School of Law and Diplomacy, Tuft University, Boston, Amerika Syarikat. - Bernama

Tiada ulasan: