Khamis, 28 Mac 2013

Warga Nigeria paling ramai terbabit penipuan komersil

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Warga Nigeria merupakan rakyat asing paling ramai iaitu seramai 378 orang yang ditahan tahun lalu berkaitan pelbagai kesalahan jenayah penipuan komersil.
  
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata warga Taiwan di tempat kedua paling tinggi iaitu seramai 175 orang, diikuti China dan Indonesia masing-masing seramai 154 dan 136 orang.
  
"Seramai 1,796 warga asing dari 44 buah negara termasuk Afrika Selatan, Filipina, Pakistan, Bangladesh, India, Nepal, Thailand, Vietnam dan Myanmar ditangkap kerana disyaki terlibat dalam pelbagai jenayah komersil di negara ini yang kebanyakannya dilakukan tahun lalu.
  
"Antara kes yang terlibat ialah jenayah siber, penipuan, salah guna harta, pemalsuan dan penggunaa wang palsu yang kebanyakannya dilakukan terhadap warga tempatan," katanya kepada pemberita.
  
Syed Ismail berkata secara keseluruhan pihaknya menahan seramai 6,006 orang yang terlibat dalam jenayah seperti itu dan 3,056 orang berkaitan kes penipuan dan selebih membabitkan kes seperti jenayah siber, penggunaan wang palsu dan kes berkaitan VCD/DVD haram.

"Sebanyak 18,386 kes yang membabitkan kerugian sebanyak RM1.6 bilion telah dibuka tahun lepas dengan 6,675 iaitu 36.21 peratus daripada kes itu dalam proses pertuduhan manakala 2,762 orang pula telah dituduh," katanya.
  
Menurut statistik yang dikeluarkan JSJK pada tahun 2012, kes seperti itu kerap berlaku di Selangor iaitu sebanyak 3,775 kes diikuti Johor (2,968), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (2,707), Perak (1,299), Pulau Pinang (1,155), Sabah (1,128), Pahang (947), Negeri Sembilan (946), Sarawak (830), Kedah (821), Melaka (816), Terengganu (468), Kelantan (329) dan Perlis (197).
  
Syed Ismail berkata trend yang digunakan penjenayah pada masa kini ialah menipu atas talian seperti menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) atau Internet.
  
Ditanya punca orang ramai mudah menjadi mangsa, Syed Ismail berkata sikap tamak kadang-kadang membuatkan masyarakat sering leka sekalipun mempunyai pendidikan inggi.
  
Katanya masyarakat juga mudah terpedaya dengan paparan gambar pada Internet.
  
"Antara contoh penipuan yang dilakukan melalui Internet ialah 'love scam' iaitu meletakkan gambar yang cantik di Facebook, tetapi secara realiti wajah sebenar pemilik gambar itu tidak diketahui," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: