Selasa, 19 Mac 2013

Video dakwa dedah ketua menteri Sarawak, saudara mara terlibat seleweng tanah

Oleh Debra Chong
Penolong Pengarang Berita

 Siaran video di Al-Jazeera menyangkut Taib dan keluarganya dalam penyelewengan tanah di Sarawak. — Gambar failKUALA LUMPUR — Kumpulan aktivis antarabangsa hari ini menunjukkan bukti video yang didakwa sebagai penyelewengan tanah di Sarawak melibatkan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan keluarganya, yang klip videonya disiarkan di siaran berita Al-Jazeera jam 10 pagi tadi. 
 
Dalam penyiasatan yang dirahsiakan, Global Witness (GW) dalam video tersebut menyamar untuk berunding dengan sepupu Abdul Taib dan beberapa orang untuk mendapatkan ribuan hektar tanah hutan, yang didakwa aktivis yang berpengkalan di London itu sebagai pendedahan rasuah secara sistematik di negeri terbesar Malaysia itu.

“Filem tersebut membuktikan pertama kali apa yang kami syaki selama ini - satu golongan elit di sekeliling Ketua Menteri Taib menyalahgunakan secara sistematik sumber asli untuk kepentingan mereka,” kata Tom Picken, wakil di Global Witness dalam kenyataan yang diedarkan hari ini.

“Ini menunjukkan cara mereka lakukan dan bagaimana mereka mereka terlepas dari undang-undang.”

Dalam video tersebut, penyiasat GW itu menyamar menjadi pelabur luar, menunjukkan beberapa keratan video tentang perbualan dengan sepupu dan peguam Ketua Menteri Sarawak, untuk membeli tanah dengan keuntungan di mana akan menyebabkan orang asal di kawasan tersebut akan kehilangan tanah.

Dalam perbualan yang dirakamkan dengan Fatimah Abdul Rahman dan Norlia Abdul Rahman, yang merupakan anak kepada bekas ketua menteri Tan Sri Abdul Rahman Ya’akub dan sepupu kepada ketua menteri — memberitahu bagaimana perniagaan berjalan di Sarawak untuk memperkayakan golongan elit. 
 
Fatimah: Ample Agro ialah milik keluarga saya, tapi milik kakak saya. Jabatan Tanah dan Ukur, mereka yang keluarkan lesen, sudah pasti mereka menerima arahan dari Ketua Menteri, tetapi saya boleh cakap dengan Ketua Menteri dengan senang.

GW: Anda boleh?

Fatimah: Ya.

GW: Kenapa anda rasa dia bersetuju?

Fatimah: Kerana dia yang beri tanah kepada kami. Dia sepupu saya [ketawa]. Maknya dan ayah saya adalah adik beradik. Dia sepupu saya jadi semuanya senang.

Adik beradik tersebut berkata mereka memiliki 5,000 hektar tanah yang diberikan kepada mereka oleh Abdul Taib, dimana mereka mahu menjual syarikat mereka. Ample Agro, yang dikatakan syarikat ali baba.

GW: Kamu bercadang, Ample Agro, yang merupakan syarikat kamu, untuk dijual, dan bukannya tanah tersebut. Adakah syarikat kamu memiliki tanah tersebut?

Norlia: Ya, saya beli syarikat tersebut sebagai syarikat ali baba untuk membeli tanah ini.

Peguamnya, Alvin Choong juga dirakam dalam video tersebut bagaimana untuk mengelak cukai hartanah.

Seorang lagi peguamnya dirakam cuba menjual tanah ayah saudaranya, seorang ahli perniagaan di Sibu yang mempunyai hubungan rapat dengan Abdul Taib, yang berkata 10 peratus dari pendapatan perniagaan mestilah ke ketua menteri sebagai komisen.

Dalam kenyataannya, GW mendakwa pegawai senior kerajaan dan seorang eksekutif syarikat pembalakan berkata ia adalah amalan yang standard di Sarawak kepada syarikat untuk membayar komisen kepada Abdul Taib sebagai habuan bersetuju untuk memberi lesen pembalakan atau perladangan.

Peguam di London mewakili ketua menteri menafikan dakwaan tersebut, kata NGO itu dilaporkan.

“Kerajaan Sarawak mengeluarkan lesen untuk tanah dengan cukup terkawal. Ini adalah sebahagian dari pentadbiran, bukannya bertujuan politik.

“Klien kami tidak pernah meminta atau menerima rasuah sebagai pemberian lesen atau pajakan tanah.

“Beliau tidak mengeluarkan sebarang ‘arahan’, yang salah untuk kepentingan sepupunya,” kata Mishcon de Reya, peguam Taib.

Abdul Taib, 76, menjadi ketua menteri Sarawak selama 32 tahun, memegang jawatan tersebut sejak Mac 1981.

Kekayaan beliau mencetuskan banyak kontroversi, dengan banyak dakwaan beliau memperoleh kekayaan tersebut dengan cara yang melanggar undang-undang.

Tiada ulasan: