Barisan Nasional (BN) kini dalam peringkat akhir menyiapkan manifesto pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) dan ia akan diumumkan kepada rakyat selepas Parlimen dibubarkan, kata Timbalan Perdana
 Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
  
Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sedang meneliti beberapa perkara secara terperinci sebelum manifesto itu disiapkan sebelum perbincangan akhir diadakan dengan semua ketua parti komponen BN untuk mendapatkan input tambahan.
  
"Selepas tarikh Parlimen dibubarkan masih ada tempoh masa supaya tidak terlalu awal dan tidak terlalu lambat untuk rakyat memberi penilaian tentang apa yang kita sediakan dalam manifesto itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Himpunan Rakyat 1Malaysia di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan di Tunjong di Kota Bharu hari ini.
  
Muhyiddin yang juga timbalan pengerusi BN, berkata rakyat boleh membuat perbandingan antara Barisan Nasional dan pembangkang yang mana satu manifesto lebih menarik dan praktikal yang mampu dilaksanakan dan boleh memberi kebaikan kepada rakyat.
  
"Di samping manifesto peringkat nasional, di peringkat negeri pun sedang dimuktamadkan oleh ketua Barisan Nasional negeri untuk mereka menambah perkara tertentu seperti di Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed sedang siapkan yang menjurus kepada kepentingan untuk rakyat Kelantan," katanya.

Ditanya sama ada manifesto pakatan pembangkang yang diumumkan baru-baru ini realistik dan Islamik, Muhyiddin berkata rakyat boleh menilai dan antara yang diperjuangkan PAS ialah untuk menegakkan hukum hudud dan manifesto tersebut tidak disebut.
  
"Kami sudah buat penilaian dan kami anggap ia tidak realistik, membawa negara kepada muflis dalam tempoh ke hadapan kalau mereka berkuasa. Mereka tidak menjelaskan satu persatu, sebut secara umum, mungkin dia akan layan kelompok tertentu, dia cakap nak hapuskan PTPTN, akan hapuskan tol dan lain-lain.

"Apakah implikasi kepada kerajaan pusat yang disebut dalam manifesto itu...mana sumber kewangan, dia kata ada penjimatan kalau dapat kurangkan korupsi, kalau dapat kurangkan perbelanjaan tertentu, kami dalam kerajaan sudah 55 tahun menangani masalah itu tetapi ada had dan batas, kerana mereka (pembangkang) tidak ada pengalaman maka mereka membentangkan sesuatu yang tidak boleh dilaksanakan, mungkin kerana mereka kata manifesto bukan janji seperti di Selangor," katanya.
  
Muhyiddin berkata tawaran dalam manifesto tersebut nampak macam percuma kepada rakyat tetapi kos kepada kerajaan untuk menanggungnya dan akhirnya kerajaan tidak boleh lagi menanggung beban tersebut.
  
"Dia kata tak payah bayar tol tetapi kerajaan yang sudah ada kontrak dengan syarikat konsesi perlu bayar pampasan, duit dari mana nak cari," katanya yang turut mempersoal tawaran pembangkang untuk menurunkan harga minyak yang kini diberi subsidi oleh kerajaan.
  
Beliau berkata pakar ekonomi juga menyatakan tawaran pembangkang itu tidak boleh dilaksanakan dan jika dilaksanakan akan membawa negara menjadi muflis.

Mengenai dakwaan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kononnya Umno sama seperti komunis, Muhyiddin berkata "tak betul, itu fatwa songsang, memang lumrah dibuat oleh pembangkang khususnya PAS melabel ini sudah menjadi amalan biasa, tidak ada  keistimewaannya, tidak berpandu kepada hukum, tidak berpandu kepada syariat Islam, tidak berpandu kepada hadis, dia sebut sahaja begitu".
  
Beliau percaya rakyat tidak akan mudah terpedaya dengan tohmahan yang dilontarkan kepada Umno dan kerajaan Barisan Nasional.- Bernama