Selasa, 26 Mac 2013

Tioman, kubu kuat BN goyang?

Wartawan Sinar Harian
PRU13
PRU13
 
ROMPIN – “Bukan tiga, tetapi empat penjuru." Itu khabar angin yang meramalkan kerusi Dun Tioman bakal menyaksikan seorang lagi calon bebas menawarkan diri Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Sumber berkata, calon yang belum mahu mendedahkan identitinya itu adalah dalam kalangan Orang Asli yang menetap di Rompin dan dikenali penduduk setempat.

"Keputusan meletakkan calon itu adalah bagi memberi pilihan kepada rakyat terutama Orang Asli memilih calon yang benar-benar memahami denyut nadi akar umbi.

“Calon ini akan memperjuangkan beberapa perkara antaranya, berkaitan hak pemilikan tanah adat, isu kemiskinan, peluang ekonomi dan pendidikan bagi memastikan rakyat di Dun ini mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Jika desas desus itu benar, ianya memberi cabaran hebat kepada Barisan Nasional (BN) berikutan Dun Tioman merupakan kubu kuat parti itu selama ini.

Menurut sumber, calon tempatan itu aktif menyertai beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan berpengalaman dalam politik.

Katanya, calon terbabit adalah pejuang rakyat yang lantang menyatakan pandangan dan jika tidak puas hati terhadap sesuatu perkara, beliau ini tidak kekok atau segan berada di hadapan,” katanya.

"Calon terbabit akan memastikan perkara berhubung-kait pemilikan tanah adat diberi perhatian serius kerajaan memandangkan beberapa isu dan tuntutan daripada masyarakat Orang Asli gagal ditangani sepenuhnya.

“Kita akan tampilkan seorang calon berwibawa, jujur dan amanah pada tugas serta boleh memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa mengira kaum serta ideologi politik,” katanya.

Sumber berkata, calon diramal mampu memberi saingan kepada dua calon Barisan Nasional (BN) dan Pas atau seorang lagi calon bebas yang dijangka bertanding di Dun itu.

“Orang Asli adalah pengundi kedua terbesar selepas Melayu.

"Saya yakin calon ini mampu melaksanakan tuga sebaiknya jika diberi kepercayaan oleh rakyat,” katanya.

Sinar Harian 28 Februari lalu turut melaporkan, kubu kuat BN di Dun Tioman mungkin goyah berikutan cakap-cakap politik meramalkan berlakunya pertandingan tiga penjuru di Dun itu dalam PRU13.

Dalam laporan itu, sumber memberitahu, calon bebas itu adalah anak jati Rompin berkelulusan agama dan dikenali masyarakat setempat.

Tiada ulasan: