Khamis, 21 Mac 2013

Tian Chua : PR Tidak Kompromi Soal Keselamatan Negara


tian-chua-bersih

SHAH ALAM  : Kerajaan Persekutuan pimpinan Umno-BN didakwa menjadikan isu pencerobohan di Lahat Datu, Sabah sebagai modal politik memburukkan Pakatan Rakyat dan tidak mengutamakan soal keselamatan negara.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dalam ceramah Pakatan Rakyat (PR) di Bukit Piatu, Melaka semalam menyatakan tindakan itu jelas apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih enggan membuat sidang tergempar Parlimen bagi membincangkan isu berkenaan.

Menurutnya, soal keselamatan negara tidak boleh diperkecilkan dan PR tidak akan berkompromi dalam perkara tersebut.

“Bila berlaku tragedi Lahat Datu, kita minta Perdana Menteri adakan satu sidang khas (tergempar) Parlimen untuk kita bersama-sama berbincang.

“Saya tidak nampak kenapa tidak boleh dibuat kerana kita pernah hadapi keadaan hampir sama.

“Semasa Perdana Menteri di luar negara bila bumi Palestin diserang oleh Zionis. Perdana Menteri arahkan sidang khas (tergempar) Parlimen diadakan dan kita dari pembangkang sokong. Itu pendirian kita atas isu kebenaran,” katanya.

Lebih mengecewakan, dirinya difitnah menghina pasukan keselamatan sedangkan beliau tidak pernah membuat kenyataan seperti itu.

“Pada 1 Mac lalu bila ditanya wartawan untuk komen pasal tembakan yang berlaku di Lahat Datu. Saya nyatakan rasa pelik kenapa media tempatan tidak membuat liputan kepada isu tembakan itu sedangkan semua sumber datang dari agensi media asing,” ujarnya.

Beliau menambah, ketika negara menghadapi ancaman bersenjata dari pihak luar, dirinya dijadikan sasaran dengan anggapan dia adalah musuh nombor satu negara.

“Ada pihak (Umno-BN) anggap saya musuh yang lebih besar dan lebih teruk dari Sultan Sulu,” katanya.

Tian Chua dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur pada 14 Mac lalu atas dakwaan mengeluarkan kenyataan menghasut, kerana didakwa mengaitkan kerajaan dan UMNO dengan pencerobohan pengganas bersenjata di Lahad Datu.

Naib Presiden PKR itu mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan dibawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948. Jika sabit kesalahan pertama, beliau boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM 5,000 atau penjara tidak lebih daripada tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Jika sabit kesalahan kedua, beliau boleh dipenjarakan tidak lebih daripada lima tahun.

Antara perkataan menghasut yang didakwa adalah serangan tembak menembak di Lahad Datu dipercayai konspirasi terancang kerajaan UMNO untuk mengalih perhatian dan menakut-nakutkan rakyat.

Tiada ulasan: