Khamis, 14 Mac 2013

Tian Chua mangsa jenayah media kawalan Umno – Nik Nazmi

Ruqayya Rahman

KUALA LUMPUR : Pendakwaan di mahkamah hari ini menunjukkan Tian Chua menjadi mangsa jenayah media kawalan Umno yang memanipulasi kenyataan asalnya berkaitan Tragedi Lahad Datu, kata Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Katanya, kenyataan Naib Presiden KEADILAN itu yang dimuat naik dalam Keadilan Daily, sebuah portal berita rasmi KEADILAN, diputar belit dan disebar secara terancang oleh media arus perdana.

Justeru, beliau berkata, KEADILAN menggesa kerajaan menggugurkan pendakwaan terhadap Tian Chua, apatah lagi ia dibuat mengikut Akta Hasutan yang jelas berniat jahat atas kepentingan politik.

tioan1

“Sebelum ini, Perdana Menteri umum pemansuhan Akta Hasutan 1948 tapi kejadian hari ini ternyata bercanggah. Saya percaya ini disengajakan dengan niat jahat,” katanya.

Semalam, Tian Chua memberi keterangan kepada polis mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan tetapi hari ini beliau didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(b) Akta Hasutan.

Nik Nazmi turut mengecam perbuatan dua pegawai polis yang cuba menahan Tian Chua di kafetaria Mahkamah Jalan Duta kira-kira jam 9.45 pagi sebelum prosiding mahkamah bermula.

“Tian Chua sudah ada di mahkamah untuk ikuti perbicaraan. Tindakan menahan individu yang ikut prosedur undang-undang adalah cubaan memalukan beliau sebagai ahli parlimen,” katanya.

Beliau menyifatkan kerajaan yang menjadikan Tian Chua sebagai kambing hitam bagi menutup kegagalan mereka menangani isu keselamatan negara di Lahad Datu, sebagai zalim.(FZL)

Tiada ulasan: