Ahad, 10 Mac 2013

Tak yakin prestasi diri punca Najib lengah PRU13

Anis Nazri,


KUALA LUMPUR: Tidak yakin dengan segala transformasi yang dilakukan menyebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berlengah-lengah memanggil pilihan raya umum.

Jika dilihat pada hujah yang diberikan beliau sebelum ini, iaitu untuk menyelesaikan Bajet 2013, jelas kelihatan beliau tidak yakin rakyat menyokong Barisan Nasional (BN) biarpun segala bantuan dilimpahkan selama ini.

Namun, menurut Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr. Hatta Mohd Ramli, pilihan raya ini tidak diukur dengan bajet, sebaliknya prestasi beliau selama ini sebagai perdana menteri.

"Kalau hendak tunggu bajet 2013 selesai, memang lebih panjanglah (tunggu pilihan raya). Sebab lepas dari itu ada pula bajet 2014.  Siapa perintah nanti, masih boleh teruskan bajet 2013 yang sudah diluluskan itu," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Tambah Dr. Hatta, Najib sepatutnya boleh membubarkan parlimen lebih awal lagi sekiranya beliau yakin apa yang dilakukan selama ini benar-benar dapat menarik perhatian rakyat.

Sayangnya, kata Hatta Najib tidak berani berpegang kepada prestasi beliau sendiri selama empat tahun ini, sebliknya bergantung kepada bajet 2013 dan pemberian 'one-off' kepada rakyat muktahir ini.

"Di mana-mana, beliau berkata yakin boleh memperoleh majoriti dua pertiga. Namun hingga kini tarikh pilihan raya terus menjadi teka-teki rakyat Malaysia," kata beliau.

Mengulas lanjut, Dr Hatta berkata Najib mungkin mencuba untuk membawa sejauh mungkin tarikh pilihan raya, namun percaya jika beliau tiada jalan lain, kemungkinan Najib akan membubarkan parlimen dalam tempoh terdekat.

"Najib mungkin akan heret lebih jauh lagi tarikh pilihan raya, walaupun sudah lebih mandat yang diberi rakyat sejak Mac 2008. Tapi, saya percaya, jika beliau tiada pilihan lain, mungkin esok beliau umum bubar parlimen," kata beliau.

Tiada ulasan: