Jumaat, 8 Mac 2013

Sultan Sulu ulangi tawaran gencatan senjata

SINAR HARIAN

Sabah diceroboh
Sabah diceroboh

SHAH ALAM - Jamalul Kiram III, yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu, mengulangi tawaran untuk mengadakan gencatan senjata selepas permintaan awal semalam ditolak oleh Malaysia.

Dipetik portal ABS-CBNnews Filipina, jurucakap Sultan Sulu mengemukakan tawaran kali kedua lewat semalam selepas ditolak oleh Perdana Menteri,

Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi petang semalam.

"Kerajaan Malaysia menolak terus permintaan (diadakan gencatan senjata)... mandatnya sebelum mengiktiraf gencatan senjata unilateral yang dibuat oleh Sultan Sulu, mesti menyerah, kata mereka, 'militan' kepada mereka. Oleh itu, respons kepada itu, saya mahu mengulangi bahawa Kesultanan Sulu sekarang mengisytiharkan akan mengakhiri permusuhan secara unilateral," kata Abraham Idjirani, jurucakap Kesultanan Sulu.

Abraham juga berkata, pihaknya akan mengatur proses membebaskan tahanan - empat rakyat Malaysia yang terdiri daripada seorang anggota polis, dua anggota tentera dan seorang pegawai kerajaan jika gencatan senjata dipersetujui oleh Putrajaya.

"Kami ingin memasukkan pengumuman menamatkan permusuhan bahawa Kesultanan Sulu, di bawah kepimpinan Sultan Jamalul Kiram III, bersedia untuk tukar tahanan perang," katanya lagi.

"Pasukan Keselamatan Diraja (di Lahad Datu) tidak ada tahanan tetapi rakyat yang bangkit di Semporna ada, jadi kami akan minta mereka. Kami akan mendesak mereka patuh mandat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu," katanya lagi.

Semalam, Najib menegaskan bahawa Kuala Lumpur tidak akan menimbang sebarang permintaan gencatan senjata selagi kumpulan penceroboh militan tidak meletak senjata tanpa syarat.

Najib, yang melawat Sabah selepas tiga hari pasukan keselamatan melancarkan serangan terhadap kumpulan penceroboh bersenjata di Lahad Datu, berkata Presiden Filipina Benigno Aquino III telah menghubungi beliau untuk mendapatkan reaksi Malaysia berhubung kenyataan Jamalul mengenai gencatan senjata.

"Saya bagi tahu Presiden Aquino bahawa mereka perlu letak senjata tanpa syarat dan senjata itu perlu diserah kepada kita," katanya.

Jamalul meminta pihaknya meletak senjata di Lahad Datu selepas beberapa anggota kumpulannya terbunuh dalam gerakan ofensif pasukan keselamatan Malaysia.

Tiada ulasan: