Jumaat, 29 Mac 2013

SPR buang nama Papa Gomo jika PDRM sahkan

JAMILAH HAMZAH
SPR
SPR
 
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan, pihaknya boleh memotong nama pemblog Papa Gomo atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris sebagai 'pengundi polis' berikutan kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung statusnya semalam.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf berkata, jika PDRM telah membuat kenyataan bertulis, suruhanjaya tersebut boleh mengambil tindakan dengan segera.

Menurutnya, kes berhubung Wan Muhammad Azri ini bersangkut dengan pelbagai agensi dan memerlukan pengesahan daripada PDRM.

Bagaimanapun beliau juga berkata, SPR boleh mengenal pasti setiap individu yang cuba untuk menjadi pengundi hantu dengan penggunaan dakwat kekal dan teknologi digunakan.

"... kalau ada kenyataan bertulis daripada PDRM, sekarang pun kita boleh padam dia sebagai pengundi pos.

"Kes Wan Muhammad ini agak rumit, dia mempunyai kesalahan tatatertib, jadi untuk melakukan sesuatu (batal undi pos), kita kena ikut saluran yang betul.

"Kita sentiasa berusaha untuk memastikan senarai (daftar) pengundi ini bersih, termasuklah setiap hari ada yang meninggal, ada yang tukar alamat dan sebagainya," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan surat watikah pelantikan kepada pegawai pengurus pilihan raya Selangor, hari ini.

Menerusi satu kenyataan semalam, PDRM mengesahkan pihaknya telah membuang kerja Wan Muhammad Azri, awal September lalu dan sudah tidak layak menjadi pengundi pos.
PDRM menjelaskan dia bukan lagi seorang pengundi pos polis.

Dalam kenyataan itu, Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Mortadza Nazarene berkata, Wan Muhammad pernah berkhidmat sebagai anggota polis berpangkat konstabel di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya mulai 1 Julai 2002 hingga 30 November 2004 apabila ditangkap atas kesalahan jenayah.

"Pada 31 Oktober 2005, anggota ini telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ampang Jaya di atas kesalahan jenayah. Proses perbicaraan mahkamah dan rayuan telah dibuat sejak dari tarikh tersebut.

"Pada 6 September 2012, anggota ini telah disabitkan salah dan dijatuhkan hukuman. Seterusnya prosiding tatatertib PDRM terhadapnya telah dibuat dan anggota ini telah dibuang kerja berkuat kuasa 6 September 2012," kata beliau.

Sehubungan itu, Mortadza berkata, Wan Muhammad tidak lagi tersenarai dalam rekod PDRM sebagai "pengundi polis."

"Perkara ini juga telah dijelaskan oleh pihak SPR bahawa rekod pendaftaran anggota ini sebagai pengundi pos telah dipadamkan, seperti kenyataan SPR pada 23 Mac 2013," katanya lagi.

Sabtu lalu, Abdul Aziz juga menunggu PDRM mengesahkan status Wan Muhammad Azri untuk badan berkanun itu mengambil tindakan.

Tiada ulasan: