Ahad, 3 Mac 2013

Sokongan warga Felda berubah, PR mampu menang 15 – 30 “kerusi Felda”


himpunan oren gadai aset 01

SHAH ALAM: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) percaya peneroka felda terutama ganerasi muda akan membuat perubahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Ini ekoran anjakan sokongan yang memberansangkan sekaligus mampu membantu Pakatan Rakyat memenangi 15 hingga 30 kerusi parlimen yang mempunyai kawasan Felda.

Ini berbanding hanya empat kerusi parlimen dengan skim Felda yang dimenangi PR dalam PRU-12, kesemuanya di Kedah.

Pengerusi Anak, Mazlan Aliman mengakui 54 kerusi parlimen yang mempunyai skim Felda dahulunya adalah ‘fix deposit’ (simpanan tetap) Umno-BN.

“Namun dengan anjakan sokongan ganerasi muda, saya berkeyakinan ini ujian getir buat Umno-BN,” kata ahli jawatankuasa Pas pusat itu kepada Tv Selangor.

Mazlan berkata peralihan sokongan oleh peneroka Felda kepada PR berlaku setelah semakin banyak maklumat tentang salah-urus Felda oleh pentadbiran Umno-BN sampai kepada peneroka.

Maklumat tersebut masih dapat disalurkan kepada peneroka walaupun terdapat pelbagai sekatan terhadap aktivis Anak dan PR daripada memasuki kawasan felda.

“Sekatan bukan bererti kita tidak boleh teruskan (penyampaian maklumat). Namun kita terus menyalurkan maklumat kepada mereka.

“Kita ada pendekatan melalu media alternatif dengan gerakan maksimum unit media di bawah. Sebahagian besar (maklumat) sudah diakses,” tambahnya lagi.

Sebelum ini, Anak sering berhadapan sekatan dan provokasi pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menghalang warga felda daripada maklumat semasa mengenai Felda dan kedudukan saham Felda Global Ventures (FGV).

Siri jelajah ke seluruh Malaysia menyaksikan aktivis dan ceramah ANAK diserang pihak yang tidak bertanggungjawab.

Tiada ulasan: