Selasa, 26 Mac 2013

Shuhaimi Baba: Artis perlu imbangi politik kebencian

JAMILAH HAMZAH

Suhaimi Baba
Suhaimi Baba
 
SHAH ALAM - Pengarah filem kontroversi Tanda Putera, Datin Paduka Shuhaimi Baba berkata, golongan artis perlu memainkan peranan penting untuk mengimbangi politik kebencian yang wujud di negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Bagaimanapun beliau mengakui bahawa majoriti artis, dalam lingkungan 90 peratus, adalah neutral tanpa melibatkan diri dalam mana-mana parti sama ada pembangkang mahupun kerajaan.

Sehubungan itu katanya, fenomena artis terlibat dalam politik adalah disebabkan sama ada minat yang mendalam terhadap dunia tersebut serta kurang daya saing dalam dunia seni.

Bagaimanapun beliau mendakwa, artis beragama Islam terlibat dengan pembangkang dilihat cenderung menyemai sikap kebencian daripada kasih sayang.

"... tidak ada apa yang luar biasa, kita boleh bersuara juga dalam politik, seperti kita buat filem. Kita buat filem dengan kasih sayang. Kita bukan cakap semasa dekat PRU sahaja tetapi sepanjang masa.

"Apa yang saya tengok, politik sekarang lebih kepada kebencian. Oleh itu, artis boleh mainkan peranan untuk seimbangkan balik kebencian yang wujud tanpa mengira ideologi dan kita perlu hormat. Itulah integriti dan artis perlu untuk meredakan kebencian.

"... saya nak nasihat, nak kata Islam adalah satu agama yang menekankan perasaan sayang, bukan kebencian, seperti yang saya lihat dalam Pas," kata beliau pada Wacana Sinar Siri 18 bertajuk "Artis Masuk Politik: Kredibiliti atau Pancing Undi" di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini hari ini.

Selepas pilihan raya umum 2008 ramai artis telah berhijrah memasuki arena politik. Ada yang menyertai Barisan Nasional (BN) dan ada juga yang menganggotai komponen Pakatan Rakyat (PR).

Penghijrahan dan suasana ini lebih kecoh apabila pelakon Abby Abadi yang juga ahli Pas dilihat giat mengeluarkan kenyataan yang mengutuk rakan artis seangkatannya.

Satu persatu artis telah berkecimpung dalam bidang politik, dilaporkan juga penyanyi terkenal Wan Aisyah Wan Arifin akan turut dicalonkan pada PRU13 atas tiket Pas.

Mengulas lanjut, Shuhaimi yang juga Presiden Pengeluar Filem Malaysia berkata, penglibatan artis dalam politik juga boleh menaikkan kerjaya seseorang artis.

Katanya, tidak salah jika artis digunakan oleh parti politik untuk memancing undi dan menerima bayaran untuk kerja yang dilakukan.

"Memang betul artis digunakan untuk pancing undi itu tidak menjadi salah sejak dahulu lagi termasuk luar negara.

"Lagi baik parti yang memerlukan khidmat artis ini membayar kepada mereka, tapi jangan menjadi boneka. Ini perkara normal menjadikan ini sebagai sumber pendapatan," katanya lagi.

Wacana anjuran Kumpulan Media Karangkraf ini turut menampilkan dua orang ahli Pas iaitu Bob Lokman dan Hairie Othman, Presiden Seniman Zed Zaidi, Suhaimi dan moderatornya Dekan Fakulti Filem Teater dan Animasi UiTM Prof Madya A. Razak Mohaideen.

Tiada ulasan: