Khamis, 14 Mac 2013

Seolah-olah 'ada pihak' mahu huru-hara – Dr Hatta

Anis Nazri,


KUALA LUMPUR: Dakwaan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya Pakatan Rakyat merancang huru-hara merupakan satu dakwaan yang tidak berasas.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr. Mohd Hatta Ramli, berkata bagaimana Pakatan Rakyat yang berkeyakinan untuk menawan Putrajaya boleh bercadang untuk menimbulkan huru-hara.

"Untuk apa huru-hara itu? Siapa yang untung jika kita bercadang untuk timbulkan huru-hara? Dalam suasana kita (Pakatan Rakyat) bersedia menjadi kerajaan baru, sudah tentulah kita mengharapkan satu suasana yang lebih aman supaya transisi ke arah itu lebih baik," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Selain menyifatkan dakwaan Muhyidin itu sebagai sangat prejudis, ia juga menampakkan seolah-olah 'ada pihak' yang mahukan huru-hara berlaku.

Dakwaan itu juga, kata Dr. Hatta seolah-olah cubaan untuk mengaitkan Pakatan Rakyat dengan krisis yng melanda negara di Lahad Datu.

"Jika Naib Presiden PKR, Tian Chua boleh didakwa di bawah Akta Hasutan, apa bezanya dengan Muhyiddin?" soal beliau.

Justeru, beliau berharap Muhyiddin tidak mengeluarkan kenyataan yang memberikan gambaran bahawa ada pihak yang ingin keadaan huru-hara berlaku.

Timbalan Presiden Umno itu mendakwa bahawa dari maklumat beberapa dokumen yang boleh dipercayai, pembangkang dipercayai merancang untuk menggagalkan pilihan raya umum ke-13 dengan mewujudkan keadaan porak peranda kerana gementar dengan sokongan rakyat kepada BN yang sudah mula meningkat.

Tiada ulasan: