Isnin, 25 Mac 2013

Selangor Kenalpasti Kempen Tipu Elaun Warga Emas

140 views eli wong borang tipu warga emas 01

SHAH ALAM C : Kerajaan Negeri menasihati penduduk Selangor supaya berwaspada dengan pengedaran borang tuntutan elaun warga emas yang mula diedarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong mendakwa perkara itu mula dikenal pasti diedarkan dari rumah ke rumah baru-baru ini kepada 100 penduduk di Sungai Chua, Kajang.

Katanya, melalui borang itu warga emas akan diminta untuk memberikan nama, no kad pengenalan, nombor telefon, alamat dan tandatangan.

Beliau berkata warga emas yang menandatangani borang itu kononnya akan dijanjikan untuk diberikan elaun khas berjumlah RM1,000 oleh Kerajaan Negeri.

“Borang ini kemudiannya akan digunakan untuk kegunaan kes mahkamah melalui firma guaman Tetuan Kamarudin & Partners untuk menyaman Kerajaan Negeri atas kegagalan menunaikan janji yang terkandung dalam manifesto Pakatan Rakyat.

“Kerajaan Negeri tidak pernah mengeluarkan borang seperti ini bagi memberikan sebarang elaun kepada mana-mana pihak.

“Jadi mana-mana pihak yang kurang jelas berhubung sebarang bantuan daripada Kerajaan Negeri, mereka boleh mendapatkan maklumat melalui Pusat Khidmat Dun,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, di SUK, di sini.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan memfailkan aduan terbabit kepada Jawatankuasa Disiplin Majlis Peguam Negara.

Sebelum ini sekumpulan warga emas memfailkan saman terhadap Kerajaan PR Selangor kerana mendakwa pentadbiran negeri tidak menunaikan janji pilihanraya ke-12 untuk memberi caruman takaful kepada warga emas.

Bagaimanapun Kerajaan Selangor menyangkal dakwaan tersebut dengan berkata ia telah memperkenalkan skim khairat kematian RM 2,500 kepada waris warga emas sejak 2008.

Sebanyak RM 80 juta telah dibelanjakan untuk skim tersebut yang telah memberi manfaat kepada kira-kira 37,000 penerima.

Tiada ulasan: