Ahad, 24 Mac 2013

Samseng simbah cat pada pelancaran manifesto PR

Oleh Bashir Ishak



KANGAR: Budaya samseng menyimbah cat kini sudah menular ke Perlis apabila beberapa buah kereta yang diletakkan di tepi jalan semasa program ceramah dan pelancaran manifesto Pakatan Rakyat Perlis malam tadi telah disimbah cat. (Gambar)

Kejadian dipercayai berlaku di antara jam 10.30 malam hingga 11.00 malam itu disedari oleh petugas Jabatan Amal yang meronda di sekitar kawasan program yang diadakan di Dataran Restoran Anjung Keli, Behor Pulai dekat sini.

Ketika itu pimpinan Pakatan Rakyat termasuk Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu sedang menyampaikan ucapan.

Lokasi kejadian adalah berhampiran Institut Kemahiran Memandu Perlis iaitu kira-kira 200 meter dari tapak program diadakan.

Cat tersebut dipercayai dilemparkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sambil menunggang motosikal mengakibatkan sebuah kereta Proton Wira terkena cat manakala tiga buah kereta lagi turut terkena tempias cat yang dilemparkan.

Kira-kira 5,000 orang hadir ke program tersebut mengakibatkan orang ramai terpaksa meletakkan kereta jauh di pinggir jalan sehingga menjangkau jarak 400 hingga 500 meter dari tapak program berlangsung.

Tiada ulasan: