Oleh Sidiqin Omar
KOTA KINABALU: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperingatkan rakyat Sabah agar tidak terpengaruh dengan ‘jurucakap’ Barisan Nasional yang bertopengkan parti berasaskan negeri Sabah.
“Mereka seperti jurucakap Barisan Nasional. Sedangkan fokus kita untuk menumbangkan Umno BN,” kata Anwar pada sidang media yang turut dihadiri Majlis Pimpinan KEADILAN Sabah di Hoytel Hyatt, hari ini.
Kata Anwar, agenda perubahan diterajui Pakatan Rakyat bersama Angkatan Perubahan Sabah (APS) dan Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPPS) tidak menghasilkan kemajuan sekiranya pandangan parti yang berasaskan negeri bercanggah dengan aspirasi rakyat Sabah.
“Kita sepakat untuk teruskan agenda di Sabah. Tetapi, nampak tidak ada kemajuan dengan parti lain. Kenyataan mereka nampak bercangah dengan pendirian kita,” tegasnya.
Kata Anwar, kenyataan beberapa pemimpin PBS (Parti Bersatu Sabah) sebelum ini yang menuding jari kepadanya adalah kerana ketandusan idea dan menjadi perkakas Umno kerana yang dapat menyembunyikan salah laku dalam pemberian kad pengenalan.
“Saya tidak ada masalah untuk hadir dalam mesyuarat Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) kalau ada apa juga dokumen yang membuktikan saya terlibat.
“Kerana ini ‘task force’ khas yang tidak dirujuk kepada Kementerian Kewangan. Tidak dirujuk ke kabinet. Hanya task force di bawah Dr Mahathi,” kata Anwar yang juga bekas Menteri Kewangan.
“Ia disebut di dalam kenyataan RCI tentang penglibatan Megat Junid dan Aziz Shamsuddin. Ini arahan peribadi (Dr Mahathir). Saya tak pernah diberi taklimat dan tak pernah hadir dalam mesyuarat. Kalau hadir mesyuarat, ada minit – turut hadir Timbalan Perdana Menteri. (Tapi) tidak ada!
“Hanya direka PBS, kerana PBS menjadi corong Umno di Sabah,” tegasnya.
Justeru, beliau menegaskan, kempen KEADILAN di Sabah akan diteruskan dengan lebih giat kerana sokongan rakyat negeri ini kepada agenda perubahan semakin meningkat.
Dalam pada itu, Anwar hari ini turut melancarkan tiga buah bas mini berkapasiti 13 tempat duduk digunakan jentera KEADILAN untuk berkempen ke seluruh negeri ini sempena jelajah ‘Harapan Pakatan Rakyat’.
Manakala semalam di Pusat Konvensyen Star City, Anwar turut melancarkan bas jelajah ‘Harapan Pakatan Rakyat’ berkapasiti 44 tempat duduk yang disumbangkan dermawan dan penyokong KEADILAN.
Duta baru KEADILAN di Sabah ini akan menyertai siri-siri program KEADILAN Sabah mulai minggu ini. – SDQ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan