Rabu, 27 Mac 2013

Rafizi: Tidak logik setiap pemimpin PKR 'kaki seks'

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
 
SHAH ALAM - Parti komponen Pakatan Rakyat, PKR yang pimpinannya sering diserang dengan fitnah lucah akan memastikan dalang di sebalik agenda politik kebencian menerusi penyebaran gambar dan video seks yang menyerupai pimpinannya, menerima hukuman setimpal.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, sudah tiba masanya pemblog-pemblog yang menyebar fitnah  terutamanya Papa Gomo, diperangi habis-habisan supaya budaya politik kotor ini dapat dihentikan.

"Apabila Papa Gomo disaman dan kita berjaya kaitkan Papa Gomo dengan video-video sebenar ini, saya yakin pemblog-pemblog lain akan berfikir dua kali," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Menurut Rafizi, pihaknya difahamkan terdapat satu gerakan terancang bagi menjayakan fitnah lucah ini dan Papa Gomo adalah individu yang berperanan menyebarkan bahan-bahan ini kepada blogger-blogger lain.

"Papa Gomo ini adalah orang terakhir yang menyebarkan tetapi ada kumpulan tersusun yang merancang dan menghasilkan video-video ini.

"Apa yang kita tahu, apabila video ini sudah siap, ia akan diberi kepada Papa Gomo, Papa Gomo ini tukang canang," kata Rafizi yang mengulas pendedahan dibuat oleh Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution Ismail semalam.

Papa Gomo kini berhadapan saman RM100 juta ekoran penerbitan gambar dan video lelaki mirip Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan seorang lelaki 'beraksi mesra'.

Menurut Rafizi, pihaknya percaya serangan terbaru membabitkan video lucah ini termasuk yang melibatkan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bertujuan untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada dasar ekonomi lebih baik yang dibawakan oleh parti itu.

"Kalau dengan cara tiap-tiap dua bulan keluar satu video dan semua pimpinan PKR ini ada video, tak logiklah pimpinan PKR ini kaki seks semua.

"Strategi mereka ini hanya untuk mengalih perhatian rakyat yang tidak semestinya pengundi atas pagar pun tetapi target mereka ialah pengundi-pengundi Melayu supaya rakyat tidak peduli mesej-mesej ekonomi dan dasar yang kita bawa," tegas beliau.

Tiada ulasan: