Khamis, 7 Mac 2013

Rafizi: Kes Bafia & LTAT bongkar banyak lagi penyelewengan Umno

Oleh Arif Juhani

KUALA LUMPUR : Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli percaya, lebih banyak penyelewengan pemimpin Umno akan terbongkar dalam perbicaraan mahkamah melibatkan dua tuduhan ke atasnya.

Beliau diheret ke mahkamah berikutan pendedahan penyelewengan dana Pusat Feedlot Kebangsaan (NFC) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Kedua-dua kes ini dibicarakan serentak hari ini, masing-masing di Mahkamah Sesyen, Shah Alam dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Rafizi

Bagaimanapun, Rafizi hadir pada sesi sebutan kes NFC di bawah tuduhan Akta Perbankan dan Institutsi Kewangan (Bafia) 1989.

Beliau ditemani peguam, Eric Paulsen.

Rafizi berhadapan pertuduhan di bawah Seksyen 97 (1) kerana mendedahkan empat akaun profil pelanggan NFC – National Meat and Livestock Sdn Bhd, Agroscience and Industries Sdn Bhd dan pengerusi NFC, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail kepada dua individu yang dikenal pasti sebagai Yusuf Abdul Alim dan Erle Martin Cavalho.

Di bawah Seksyen 103(1)(a) akta yang sama, Rafizi boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM3 juta dan dipenjara sehingga tiga tahun jika didapati bersalah.

Sementara itu, kes saman Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula berkaitan pendedahan Rafizi mengenai penyelewengan wang pesara tentera dalam Boustead Holdings Berhad.

Rafizi menyatakan kesediaannya berhadapan perbicaraan selepas mendapat akses maklumat perjanjian dalam Boustead selepas membeli 100 unit saham Boustead dengan harga RM4.86 seunit.

Ini membolehkannya menjadi pemegang kepentingan Boustead dan mendapat dokumen LTAT.

Peguam Latheefa Koya mewakili Rafizi hadir di Mahkamah Jalan Duta, pagi ini untuk penetapan kes tersebut.

Mengikut twitter Rafizi, perbicaraan bagi kes Bafia ditetapkan pada 18 dan 19 Mac, manakala saman Zahid pada 12 dan 13 Jun.

Tiada ulasan: