Khamis, 28 Mac 2013

Putar belit kenyataan ‘reban ayam’: Ghafir saman Utusan RM20 juta

Oleh Aisha Geoffrey

KUALA LUMPUR : Bekas Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Ghafir Abdul Hamid memfailkan saman RM20 juta terhadap Utusan Melayu (Malaysia) Berhad berikutan kenyataan ‘reban ayam’ yang diputar belit akhbar kawalan Umno itu.

Utusan Online pada 13 Mac lalu melaporkan, Ghafir memperleceh cara polis dan tentera menangani pengganas di Sabah.

Ghafir

Kenyataan beliau diputar dan dilaporkan sebagai: pasukan keselamatan ‘hanya duduk di bawah rumah orang dan di reban ayam’ dan seolah-olah mendakwa pelaksanaan Ops Daulat gagal.

Beliau dilapor membuat kesimpulan bahawa kegagalan risikan awal khususnya oleh tentera membuatkan pasukan keselamatan dalam keadaan terkejut menyelesaikan masalah di sana.

“Laporan tersebut benar-benar palsu, berniat jahat dan fitnah terhadap Datuk Ghafir. Tuduhan itu juga kita anggap bertujuan menjatuhkan kredibiliti beliau sebagai orang kenamaan dan cubaan untuk libatkannya dengan skandal awam,” kata peguam mewakili Ghafir, Samaruddin Md Rejab.

“Kita semua sedar Pilihan Raya Umum ke-13 semakin hampir dan Ghafir adalah salah seorang daripada bekas pegawai tertinggi yang menyokong KEADILAN serta Pakatan Rakyat,” tambah Samaruddin dalam kenyataan.

Turut dinamakan dalam tuntutan yang difailkan kelmarin, pemilik Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak dan Raja Shahrir Abu Bakar.

Ghafir menuntut ketiga-tiga defendan membuat permohonan maaf secara terbuka dan disiarkan di Utusan Online dan Utusan Malaysia serta berjanji untuk tidak menyiarkan berita seumpama itu di masa akan datang.

“Memandangkan keseriusan tuduhan yang dibuat Utusan, Ghafir turut menuntut RM20 juta sebagai gantirugi di atas kerosakan kepada nama baik klien kami,” kata Samaruddin. – NS

Tiada ulasan: