Ahad, 3 Mac 2013

PRU13: 'Perantau Pulang, Pakoh Pakatan' dilancar

Hazayani Zakaria,



Tuan Guru Abdul Hadi menerima Deklarasi Shah Alam daripada Setiausaha Perantau.

SHAH ALAM: Anak Terengganu di Perantauan (Perantau) hari ini berikrar akan menjatuhkan kerajaan Umno BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) selepas sekian lama negeri itu berada dalam kemiskinan dan kemunduran.

Ikrar tersebut terkandung dalam Deklarasi Shah Alam yang dibaca di Himpunan Anak Terengganu di Perantauan 2013 (HAT13) di Unisel, dekat sini hari ini.

Kira-kira 800 Perantau yang hadir dari seluruh Lembah Klang itu berikrar akan melaksanakan lima perkara iaitu:

1. Untuk terus berusaha membawa rakyat Terengganu keluar dari kemelut kemunduran, kemiiskinan dan kos sara hidup yang tinggi dalam segala bentuk yang kami mampu.

2. Membawa pulang ilmu, kemahiran dan pengalaman yang ditimba demi kemajuan dan kemakmuran Terengganu.

3. Terus menuntut agar hak royalti rakyat negeri Terengganu dikembalikan kepada kerajaan dan rakyat Negeri Terengganu sebagai hak rakyat Terengganu, dan bukannya sebagai belas ihsan.

4. Untuk terus mengembeling usaha bersama rakyat Terengganu mengembalikan kegemilangan dan maruah rakyat Terengganu melalui kedaulatan Islam dalam sebuah negeri yang penuh dengan kebajikan serta kemakmuran.

5. Untuk menyeru dan mengajak rakyat Terengganu seluruhnya agar menumbangkan pemerintahan Umno dan BN yang telah terbukti gagal dalam membawa kemakmuran, kemajuan dan kedaulatan Islam di Negeri Terengganu.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapannya berkata, PAS sangat mengharapkan undi Perantau  pada PRU13 kerana Terengganu berperanan penting memperkasa politik Melayu Islam.

"Dalam memperkasa politik Melayu Islam Terengganu memainkan peranan besar.

"Kita perlu sedar Terengganu merupakan negeri yang diperkasa dengan Islam melalui dengan kewujudan  batu bersurat.

"Terengganu juga merupakan negeri yang paling akhir dijajah," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.

Ustaz Hadi turut melancarkan kempen 'Perantau Pulang, Pakoh Pakatan'.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Terdahulu, program diisi dengan diskusi 'Terengganu Maju: Impian dan Harapan Rakyat yang dibarisi lima ahli panel.

Mereka ialah  Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kewangan Dalam Negeri, Datuk Ismail Hamzah, Pengerusi Amanah Terengganu, YM Datuk Raja Kamarul Baharin Shah Raja Ahmad, Anggota GLC Selangor, YM Raja Idris Raja Kamaruddin, Pengarah Institut Kajian Polisi (IKP) PAS, Prof Dr Mohd Khazani Abdullah dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Mohamad.

Sebelum itu, YM Raja Kamarul Baharin juga membentangkan kertas kerja 'Harapan Orang Terengganu' (Hot).

Manakala Prof Dr Mohd Khazani membentangkan kertas kerja 'Terengganu Maju: Harapan dan Cabaran.

Tiada ulasan: