Jumaat, 8 Mac 2013

PM isytihar 5 daerah di Sabah kawasan keselamatan khas

PM isytihar 5 daerah di Sabah kawasan keselamatan khasMALAYSIA CHRONICLE

LAHAD DATU - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pembentukan kawasan yang dipanggil Kawasan Keselamatan Khas Sabah untuk menjaga kedaulatan dan keselamatan kawasan pantai timur negeri ini.

Beliau berkata kawasan berkenaan merangkumi daerah Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu.

"Kawasan Keselamatan Khas ini berpusat di Lahad Datu yang akan menjadi pusat perintah yang menempatkan beberapa kabin sementara supaya ia dapat berfungsi dengan segera," katanya pada sidang media selepas meninjau dan mendengar taklimat berhubung Op Daulat di sini hari ini.

Pada 1972, kerajaan pernah menubuhkan Rajang Area Security Command (RASCOM), iaitu pasukan kawalan keselamatan di kawasan Rajang di Sarawak yang berjaya menghapus ancaman komunis di negeri itu.

Kawalan RASCOM meliputi kawasan Sibu, Kanowit, Oya, Dalat, Bintagor, Sarikei, Julau, Song dan Kapit yang diisytiharkan sebagai Kawasan Keselamatan Istimewa oleh Datuk Abdul Razak Hussein selaku perdana menteri ketika itu.

Perdana menteri berkata cadangan penubuhan Kawasan Keselamatan Khas itu telah dipersetujui pada mesyuarat jemaah menteri, semalam.

Langkah itu untuk memberi keyakinan kepada rakyat Sabah bahawa dalam soal kedaulatan negara, kerajaan akan melakukan apa sahaja bagi menjamin keamanan dan kedaulatan negeri ini, katanya.

Sehubungan itu, katanya, lima lagi batalion terdiri daripada pasukan polis dan tentera akan ditambah bagi menguatkan lagi aspek keselamatan yang sedia ada.

Najib berkata pecahan lima batalion itu akan ditentukan selepas rundingan antara polis dan tentera diadakan kemudian.

"Pada prinsipnya kekuatan tambahan lima batalion itu akan ditempatkan di kawasan Special Security Area. Ini untuk memberikan keyakinan kepada rakyat timur Sabah bahawa meskipun operasi ini akan berakhir tetapi keselamatan (mereka)dan kedaulatan (negeri) mereka akan terus dipertahankan," katanya.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan beberapa lagi anggota kabinet.
- Bernama

Tiada ulasan: