Ahad, 10 Mac 2013

PKR nafi bayar bapa Saiful RM1 juta

Wartawan Sinar Harian
Azlan Mohd Lazim
Azlan Mohd Lazim
 
SHAH ALAM - Sambil menafikan PKR membayar RM1 juta kepada bapa Mohd Saiful Bukhari Azlan yang membuat pendedahan mengejutkan semalam, seorang pemimpin kanan parti itu yang didakwa mendalangi perkembangan itu menegaskan, beliau "bangga" kerana dapat membantu parti dan pemimpinnya.

"Ya, saya mengaku saya terlibat, saya yang menguruskan... saya bangga. Jadi apa isunya?

"Sebab saya pemimpin parti, memang saya bangga kerana dapat membantu parti dalam menghadapi situasi seperti ini... bapa Saiful datang jumpa kami, kami menyambut," kata Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul ketika dihubungi.

Pemimpin pusat PKR itu diminta mengulas dakwaan beberapa media khususnya blog pro-Umno bahawa parti komponen Pakatan Rakyat itu membayar RM1 juta kepada Azlan Mohd Lazim untuk mengatakan pihak-pihak tertentu mendalangi strategi untuk memerangkap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar dapat dipenjarakan buat kali kedua di bawah kes meliwat.

Anwar bebas daripada tuduhan 9 Januari 2012. Kes itu kini berada di peringkat rayuan.

Pagi semalam, Azlan mendakwa anaknya itu dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu yang tidak  bertanggungjawab sehingga membawa kes liwat kedua melibatkan Anwar, yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat.

"Saya Azlan Mohd Lazim sesungguhnya percaya anak saya Saiful Bukhari telah dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.

"Mereka inilah merupakan dalang kepada semua fitnah liwat yang dilakukan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang melibatkan anak saya," kata beliau.

Mengulas lanjut, Johari berkata, pihaknya tidak ada wang untuk membayar pihak-pihak tertentu.

"Saya tidak ada duit. Pengundi di kawasan saya tahu saya. Kami pun tidak akan berbuat demikian, bagi duit. Mungkin Umno dan mereka yang menyokong Umno beranggapan bahawa segala masalah yang wujud boleh diselesaikan dengan wang.

"Tetapi kita kena ingat bahawa kesedaran diri untuk menyatakan kebenaran tidak boleh dibeli dengan wang ringgit," katanya.

Johari menambah: "Bapa Saiful sendiri datang kepada kami bersama beberapa orang dan menyatakan hasrat mahu mendedahkan pengakuan beliau dan mahu bertemu dengan Datuk Seri Anwar."

"Beliau tidak mengenakan apa-apa syarat. Beliau tidak minta duit, jawatan atau apa-apa... cuma beliau kata beliau merasakan ada benda yang perlu didedahkan selepas mengetahui apa yang berlaku membabitkan anaknya, sepanjang lima tahun lalu," kata beliau.

Johari seterusnya berkata: "Jika Umno merasakan kami membayar bapa Saiful RM1 juta, apakah kami juga bayar bekas pegawai kanan tentera yang menyertai PKR baru-baru?"

"Apakah kami juga bayar ahli-ahli yang menyertai PKR sejak 1998, sejak reformasi... saya nak tanya. Ingat, kesedaran diri tidak boleh dibayar dengan duit," katanya lagi.

Johari juga berkata, kenyataan media yang dibacakan oleh Azlan sebenarnya disediakan oleh beliau sendiri.

"Kalau beliau tanya pun saya akan kata saya tidak ada duit... jika saya beri beliau, makna saya juga kena beri kepada semua yang lain. Saya tidak ada duit," katanya lagi.

Tiada ulasan: