Selasa, 19 Mac 2013

PKFZ: Kes Liong Sik ditangguh

MALAYSIA CHRONICLE


KUALA LUMPUR - Kegagalan untuk menyerahkan sepina baharu kepada seorang saksi pembelaan menyebabkan perbicaraan kes penipuan membabitkan bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik di mahkamah tinggi di sini ditangguhkan sehingga esok.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi mengarahkan peguam utama, Liong Sik, K.K. Wong supaya memastikan sepina kepada semua saksi yang akan dipanggil diserahkan pada masanya bagi memastikan perbicaraan kes itu tidak tertangguh.

Pasukan pembelaan mahu memanggil Ketua Pegawai Operasi Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) Datuk Faizal Abdullah tetapi beliau tidak hadir di mahkamah memandangkan beliau tidak menerima sepina.

Peguam Datuk K. Kumaraedran yang mewakili Faizal turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa pembelaan tidak memohon sepina baharu terhadap anak guamnya dan sepina lama telahpun tamat tempoh, dengan Faizal menghadiri satu lagi perkara berkaitan mahkamah di Shah Alam.

Wong kemudian memberi jaminan kepada Ahmadi bahawa pembelaan akan mengatur urusan yang perlu untuk menyerahkan sepina pada masanya kepada saksi yang masih tinggal.

Liong Sik, 69, didakwa memperdayakan kerajaan dengan tidak mendedahkan kepada Kabinet kadar faedah tambahan 7.5 peratus setahun bagi RM1.088 bilion (pada kadar RM25 setiap kaki persegi) dalam pembelian tanah bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, antara 25 September 2002 dan 6 November 2002.

Beliau turut minta dibicarakan terhadap dua pertuduhan alternatif iaitu menipu yang membawa hukuman lebih ringan.- Bernama

Tiada ulasan: