Rabu, 27 Mac 2013

Peruntuk RM100 juta: Najib digesa henti ‘projek segera’ di Kuantan

Oleh Aisha Geoffrey

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu menghentikan ‘projek segera’ di Kuantan dan wajib menyelesaikan masalah dengan lebih komprehensif, kata Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.
fuziah
“BN begitu terdesak untuk rampas Kuantan dengan memperuntukkan sebegitu banyak wang. Kerajaan suka buat ‘projek segera’ untuk membuktikan mereka mampu walaupun ia tidak menyelesaikan masalah dengan berkesan,” kata Fuziah kepada Keadilan Daily.

Beliau mengulas peruntukan RM50 juta yang diumumkan Najib di Kuantan Sabtu lalu bagi membaik pulih jalan raya dan RM50 juta lagi untuk mengatasi masalah banjir di Parlimen itu.

Fuziah berkata, BN sering menabur wang sebagai kaedah untuk menyelesaikan masalah di Kuantan tanpa mengkaji isu sebenar dan menyalurkan penyelesaian efektif.

“Misalnya kita pernah bangkitkan kenapa jabatan dan urusan pentadbiran negeri ditempatkan di Indera Mahkota. Dengan jarak yang jauh dan masalah pengangkutan, ini menyukarkan penduduk Kuantan untuk ke sana sekiranya ada urusan.

“Apa yang kerajaan buat hanya sediakan bas Rapid yang tak boleh selesaikan isu sebenar. Isu pokoknya penduduk di kawasan pedalaman sukar mendapat akses pengangkutan, tapi Rapid gagal atasi tidak masuk ke kawasan kampung,” jelasnya.

Tambah Fuziah, projek perumahan yang dijanjikan kerajaan pada sidang Parlimen juga banyak terbengkalai.

“Bila saya bangkitkan di Parlimen, mereka buat tetapi lepas itu ada berapa banyak projek perumahan yang terbengkalai,” katanya.

“Kerajaan dan Najib seharusnya berhenti membangunkan projek yang tidak dapat lagi ditampung. Kaji setiap permasalahan rakyat dengan terperinci dan selesaikan, bukan dengan bina itu ini, janji sana-sini,” tegasnya. – NS

Tiada ulasan: