Khamis, 21 Mac 2013

Pengurusan kes saman Khalid 5 April


ANTARA POS.COM
 
Post Pic

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 5 April bagi pengurusan kes saman oleh dua pemilik tanah terhadap kerajaan negeri Selangor dan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi menuntut ganti rugi RM5 bilion berhubung pengambilalihan tanah di Mukim Ijok.

Pesuruhjaya Kehakiman Rosilah Yop menetapkan tarikh itu dalam kamar selepas kes berkenaan disebut di depannya.

Peguam B.Thangaraj dan Azad Bashir mewakili pemilik tanah LBCN Development Sdn Bhd dan Mujur Zaman Sdn Bhd manakala pegawai penasihat undang-undang negeri Selangor Ahmad Fuad Othman mewakili Abdul Khalid dan defendan lain.

Azad memberitahu media mahkamah menetapkan tarikh itu bagi membolehkan Abdul Khalid dan defendan menfailkan pembelaan.

Selain Abdul Khalid, pengarah tanah dan galian Selangor, pendaftar hak milik negeri itu, pentadbir tanah Kuala Selangor serta kerajaan negeri Selangor dinamakan sebagai defendan.

Kedua-dua pemilik, yang juga sebuah syarikat pembangunan tanah, mendakwa defendan tanpa alasan kukuh meneruskan polisi "land grab" bagi mengambil alih tanah yang diberi milikan kepada mereka.

Syarikat itu mendakwa defendan mempunyai pengetahuan penuh bahawa tanah itu telah diberi milik kepada mereka bagi pembangunan bersepadu di kawasan Revolusi Hijau Bukit Cerakah di mukim itu dan juga pembangunan lain seperti bangunan perniagaan termasuk perubatan, rekreasi, sekolah dan asrama.

Syarikat itu memohon, antara lain, deklarasi bahawa keputusan defendan untuk mengambil alih tanah berkenaan pada 2011 dan 2012 adalah tidak sah, terbatal dan tidak mempunyai kesan undang-undang.

Keseluruhannya, plaintif menuntut ganti rugi berjumlah RM5 bilion bagi kehilangan tanah itu, faedah serta kos.

Tiada ulasan: