Sabtu, 30 Mac 2013

Pembelian pesawat tempur mesti dibentang di Parlimen – MP Pakatan

Oleh Norutul Ilham

KUALA LUMPUR : Kerajaan wajib membentangkan hasrat membeli 18 pesawat tempur baru menggantikan pesawat yang didakwa usang di Parlimen bagi mengelakkan skandal seperti Scorpene berulang.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, pembelian pensenjataan pertahanan negara hendaklah melalui pembentangan kepada semua Ahli Parlimen dan jika itu tidak berlaku ia merupakan kesalahan.

johari abdul

“Sekalipun pembelian jet sangat diperlukan, kerajaan mesti pertimbangkan objektif utama dengan membawa isu ini ke Parliemen untuk dibentang terlebih dahulu.

“Buat perbandingan sama ada pembelian jet lebih penting ataupun mengukuhkan sistem risikan negara lagi penting supaya tidak terjadi insiden pencerobohan seperti di Lahad Datu,” katanya dihubungi.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan Malaysia menyenarai pendek lima pengilang bagi mendapatkan 18 pesawat tempur menjelang 2015 bagi menggantikan MIG-29 buatan Rusia yang sudah berusia.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut dilaporkan masih belum dapat memastikan kos sebenar pesawat tersebut.

Bagaimanapun, sumber industri memberitahu, pembelian itu boleh menjangkau angka berbilion dolar.
Tambah Johari, pembelian jet tersebut mesti diumumkan supaya tidak berlaku tragedi memalukan negara seperti kejadian terdahulu.

“Kita tidak mahu jadi seperti kapal selam Scorpene yang dibeli berbilion ringgit tetapi tidak boleh menyelam, ada jet tapi sistem kawalan tetap lemah.

“Lebih baik perbaiki apa yang perlu dan utamakan kebajikan pasukan keselamatan yang menjalankan tugas secara serba kekurangan,” katanya. – NS

Tiada ulasan: