Khamis, 7 Mac 2013

Pejabat Menteri Besar Selangor gesa The Star tarik balik kenyataan

Oleh Mohd Farhan Darwis

KUALA LUMPUR — Pejabat Menteri Besar Selangor hari ini menggesa akhbar harian berbahasa Inggeris The Star menarik balik penyiaran artikel mereka kerana menggunakan tajuk yang berniat jahat berhubung kenyataan Menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terhadap kenyataan Naib Presiden PKR Chua Tian Chang sebelum ini yang mengatakan insiden di Lahad Datu adalah konspirasi Umno.

“Saya merujuk kepada laporan berita di akhbar The Star yang bertajuk ‘Selangor MB slams Tian Chua’ yang disiarkan di muka surat 12, hari ini.

“Tajuk mengenai komen Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terhadap YB Tian Chua itu dibuat dengan tidak bertanggungjawab, tidak tepat dan berniat jahat,” kata Setiausaha Politik menteri besar, Faekah Hussin, dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Faekah, tajuk yang digunakan The Star itu nyata bercanggah dengan laporan berita tersebut yang jelas tiada sebarang unsur membidas Chua.

“Tajuk ini bercanggah sama sekali dengan laporan berita itu sendiri ... tiada dalam laporan berita itu yang menyebut unsur-unsur membidas Tian Chua,” tegas Faekah.

Beliau turut menegaskan, The Star akan mengambil tindakan serta merta untuk menarik balik dan membuat permohonan maaf berhubung penyiaran artikel tersebut.

“Jika The Star gagal berbuat demikian, kita berhak untuk mengambil tindakan undang-undang.”

Akhbar berkenaan hari ini memetik kenyataan Khalid sebagai berkata, “... beliau menghormati dan yakin dengan usaha pihak polis dan tentera dalam mempertahankan kedaulatan negara. Khalid berkata beliau tidak fikir mana-mana pemimpin PKR akan membuat kenyataan sedemikian.”

 Chua sejak awal minggu lalu telah dikecam kerana didakwa mengeluarkan kenyataan mengatakan bahawa insiden di Lahad Datu, Sabah adalah konspirasi Umno.

Beliau bagaimanapun telah menafikan mengeluarkan kenyataan tersebut, sebaliknya menegaskan kenyataan itu dikeluarkannya sebelum insiden tembak-menembak berlaku antara pasukan keselamatan Malaysia dan pengganas yang mendakwa mereka adalah Tentera Kesultanan Sulu.

Beberapa individu dan kumpulan turut mengadakan demonstrasi di kawasan Tugu Negara membantah kenyataan ahli Parlimen Batu itu.

Saudara kepada anggota polis yang terbunuh dalam ketegangan di Sabah turut membuat laporan polis terhaap Chua.

Tiada ulasan: