Khamis, 14 Mac 2013

Pakatan Rakyat yakin sapu bersih Parlimen Balik Pulau

Mohd Taufik Sulong

Saya yakin Pakatan Rakyat (PR) akan mengekalkan kemenangan di Parlimen Balik Pulau dan akan menguasai ketiga-tiga Dun di Balik Pulau kerana beberapa sebab:-

1. Kami berkerja untuk rakyat sejak menang Mac 2008 hingga kini. Kami tak pernah berhenti. Kami kerahkan segala instrumen yang ada seperti Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK), Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN), Ahli Majlis Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Jabatan-jabatan kerajaan seperti Pejabat Daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pertanian, Jabatan Parit dan Saliran dan lain-lain secara padu untuk berbakti kepada rakyat sebagai membalas kepercayaan rakyat kepada kami. Akhirnya kami berjaya dan kami yakin untuk sapu bersih dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 ini kerana kualiti khidmat kami.

2. Dari segi logik, dulu kami menang tipis di Parlimen Balik Pulau dan kalah tipis di tiga DUN di Balik Pulau tanpa segala instrumen-instrumen tadi seperti JKKK, Penyelaras Adun, Ahli Majlis (MPPP) serta tanpa sokongan agensi-agensi kerajaan. Pada 2008 kami hanya mula kerja bila hampir pilihan raya. Kini dengan gerak kerja sejak 2008 dengan sokongan segala instrumen yang ada, saya yakin peluang untuk kami menang besar amat tinggi.

pakatan-rakyat

3. Hasil gerak kerja kami yang ikhlas dan aktif, kami kini mempunyai ramai penyokong dan dari pelbagai bangsa. Mereka amat seronok dengan pembaharuan dan ketelusan kami. Kini kami ada sukarelawan Melayu, Cina dan India, sesuatu yang tidak kami miliki pada 2008. Takkan dengan sokongan padu mereka dalam PRU 13 nanti kami tak boleh menang dengan bergaya?

4. Gerak kerja kami sejak 2008 membuktikan tahap komitmen dan kualiti kerja yang tinggi yang hanya boleh dilaksanakan oleh pimpinan yang ikhlas dan bersemangat waja. Di akui dalam mesyuarat bersama pegawai-pegawai kerajaan, JKKK negeri lebih aktif berbanding JKKK pusat walaupun elaun Pengerusi JKKK negeri hanya RM450.00 berbanding elaun pengerusi JKKK pusat sebanyak RM800.00. Ini menunjukkan perjuangan kami bukan semata-mata kerana duit dan upah tetapi ikhlas untuk berkhidmat kepada rakyat.

5. Ketelusan kami juga rahsia keyakinan untuk kami sapu bersih di Balik Pulau untuk PRU 13 ini. Sama ada JKKK, Penyelaras Adun dan Ahli Majlis MPPP, segala sumbangan dan bantuan yang diberi diagih dengan adil kepada yang berhak menerimanya tanpa melihat warna parti yang disokong oleh penerima. Ketelusan ini menyebabkan kami memiliki ramai kawan dan penyokong. Senyuman dan penyertaan mereka apabila turut serta dalam program-program kami menambah keyakinan kami untuk menang besar.

6. Keaktifan ketiga-tiga penyelaras Adun di Balik Pulau yang menganjur pelbagai program dan aktiviti hampir setiap minggu serta perlaksanaan projek-projek pembangunan di Balik Pulau bagai menutup kewujudan Adun-adun Umno di Balik Pulau. Adun-adun Umno yang menang seolah-olah tiada dan tidak berfungsi walhal mereka memiliki kerajaan pusat yang pasti lebih berkuasa dan mempunyai bajet yang lebih besar berbanding kami. Situasi ini menambah keyakinan kami untuk menang besar.

7. Begitu juga dengan keaktifan Ahli Majlis MPPP yang mewakili warga Balik Pulau yang memainkan peranan besar kepada kejayaan perubahan di Balik Pulau. Dari agihan beg kitar semula kepada rakyat melalui penganjuran program Cleener Greener dan kesukanan yang dilaksanakan hampir setiap minggu, sumbangan-sumbangan apron percuma kepada perniaga, lawatan-lawatan rasmi dan mengejut ke pasar-pasar awam serta Kompleks Sukan Balik Pulau, lawatan dan penganjuran program gotong-royong untuk meningkatkan tahap kebersihan di Pantai Pasir Panjang dan Air Terjun Titi Kerawang, penaiktarafan lebih 10 taman-taman rekreasi di Balik Pulau, hinggalah kepada penaiktarafan Kompleks Makanan Taman Desa Genting yang bernilai lebih RM700,000 dan penaiktarafan Kompleks Sukan Balik Pulau dengan kos RM 2.7 juta adalah catatan rekod-rekod kecemerlangan yang jauh meninggalkan prestasi perlahan Ahli Majlis di era BN. Ini semua menyakinan kami untuk masuk pilihan raya nanti dengan bergaya dan Insyaallah akan menang dengan majoriti yang lebih besar.

8. Faktor tempoh masa persiapan yang lama telah menyebabkan jentera pilihan raya kami benar-benar bersedia berbanding PRU 12. Kami telah memulakan gerak kerja politik sejak menang pada Mac 2008 dan bertambah aktif apabila berlaku peralihan kuasa dari Tun abdullah kepada Datuk Seri Najib Razak dengan andaian Najib akan mengadakan pilihan raya untuk mendapat mandat rakyat. Rupanya Najib tak berani tutup kami tetap bersedia bila-bila masa untuk masuk dan menyertai pilihan raya. Siap siaga kami yang lama ini menambah rasa hati kami untuk mendapat majoriti yang lebih cemerlang.

9. Satu lagi kekuatan kami untuk berhadapan dengan pilihan raya kali ini ialah rekod cemerlang kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah Pakatan Rakyat (PR) dari pelbagai aspek. Dari aspek kebersihan, kerajaan PR Pulau Pinang hanya mengambil masa kurang dari lima tahun untuk mengeluarkan gelaran sinis ‘Pulau Pinang Darul Sampah’ yang ditinggalkan oleh kerajaan Pulau Pinang di bawah BN Umno yang memerintah hampir 50 tahun. Dari aspek pelancongan, dengan tahap kebersihan yang baik dan keaktifan penganjuran program-program kebudayaan peringkat domestik serta peringkat antarabangsa, kehadiran pelancong tempatan dan antarabangsa melonjak tinggi. Operator bisnes yang terlibat dengan sektor pelancongan seperti perhotelan, perkhidmatan pelancongan, homestay, restoran, industri desa dan lain-lain mencatat keuntungan berganda. Imej kerajaan PR sebagai kerajaan rakyat semakin terserlah apabila kerajaan negeri memperkenalkan skim-skim kebajikan sosial seperti Skim Anak Emas, Skim Warga Emas, Skim Bantuan Persekolahan kepada Pelajar Tahun 1 dan 4, Projek Titian Saksama Rakyat dan lain-lain skim yang mencakupi pelbagai lapisan umur, kerjaya dan etnik. Malah dengan urus tadbir kewangan yang cemerlang ia dipuji Ketua Audit Negara. Kerajaan negeri PR Pulau Pinang juga mencatat rekod dalam sejarah kewujudan Pulau Pinang apabila pendapatan negeri meningkat melebihi 310%.

10. Keutuhan Perpaduan dan kerjasama komponen dalam PR iaitu antara PAS,DAP dan PKR kini amat padu berbanding tahun 2008. Masa, Keadaan, tekanan dan provokasi Umno BN mematangkan kami.

Usaha-usaha provokasi politik Umno BN yang berterusan adalah strategi kotor untuk pecah-belahkan persefahaman kami. Kami kini selesa bermesyuarat dan merancang serta melaksanakan program-program kemasyarakatan dan politik secara bersama dan untuk keuntungan semua komponen PR. Kami memahami dan menghormati perbezaan antara kami tetapi kami lebih fokus kepada persamaan matlamat di antara kami iaitu kami bertekad dengan jitu untuk menewaskan Umno BN untuk diganti dengan kerajaan PR yang terbukti lebih mesra, bersih dan telus demi kebaikan masa depan negara dan anak cucu kami.

Dengan antara kekuatan-kekuatan tersebut, kami yakin akan menang di tiga DUN dan akan mengekalkan kemenangan di Parlimen Balik Pulau dengan majoriti kemenangan yang lebih besar.

* Mohd Taufik Sulong Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Balik Pulau / Pengarah Pilihan Raya Adun Pulau Betong, Pulau Pinang /Ahli Majls Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP)

Tiada ulasan: