Jumaat, 8 Mac 2013

Op Daulat: 52 pengganas maut, operasi diteruskan

SINAR HARIAN

ceroboh Sabah - Najib
Najib Tun Razak ketika bertemu dengan pasukan keselamatan negara di Komtek Sahabat 16 Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA) yang siap sedia berjuang dalam Operasi Daulat hari ini
 
KUALA LUMPUR - Malaysia mewujudkan benteng pertahanan di sepanjang perairan pantai timur Sabah bermula dari Kudat di bahagian Utara hingga ke Tawau di bahagian Tenggara bagi menyekat sebarang elemen pencerobohan terutama dari wilayah kepulauan di selatan Filipina.
  
Perisytiharan penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Sabah oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini dibuat berikutan kejadian pencerobohan kumpulan militan dari Sulu di Lahad Datu 12 Februari lepas dan sehingga kini insiden itu masih berlanjutan.
  
"Kerajaan akan melakukan apa sahaja untuk menjamin keselamatan, keamanan dan kedaulatan Sabah... soal Sabah dalam Malaysia tidak harus dipertikai oleh sesiapa," kata Najib selepas melawat kawasan 'ground zero' di Felda Sahabat 16, Lahad Datu Sabah.
  
Kawasan Keselamatan Khas Sabah itu merangkumi Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu, dan kerajaan akan menempatkan lima batalion tambahan terdiri daripada pasukan tentera dan polis di kawasan itu.
  
Pada 1972, kerajaan pernah menubuhkan Rajang Area Security Command (Rascom) iaitu pasukan kawalan keselamatan di kawasan Rajang di Sarawak yang berjaya menghapus ancaman komunis di negeri itu.
       
Kawalan Rascom meliputi kawasan Sibu, Kanowit, Oya, Dalat, Bintagor, Sarikei, Julau, Song dan Kapit yang diisytiharkan sebagai Kawasan Keselamatan Istimewa oleh Datuk Abdul Razak Hussein selaku perdana menteri ketika itu.

Pencerobohan pengganas  


Pada Selasa pasukan keselamatan melancarkan serangan udara menggunakan jet pejuang F18 dan Hawk sebagai gerakan pertama ke arah menamatkan pencerobohan pengganas Sulu sejak 12 Februari dan pasukan keselamatan kini meneruskan operasi dengan tindakan susulan dan penggeledahan.
  
Selepas tiga hari gerakan ofensif dilancar, pasukan keselamatan negara masih mendapat tentangan daripada kumpulan pengganas militan itu dan hari ini berlaku dua kejadian berbalas tembak iaitu di Kampung Tanduo yang merupakan kawasan kumpulan itu bertapak dan di Tanjung Batu.
  
Seramai 32 musuh terbunuh dalam pertempuran hari ini iaitu 31 dalam kejadian pada 11 pagi di Tanjung Batu dan seorang dalam kejadian 6.45 pagi di Kampung Tanduo.
  
Tiada anggota keselamatan yang cedera dalam kedua-dua kejadian itu, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.
  
51 pengganas terbunuh

Sejak isu pencerobohan sekumpulan lelaki berpakaian ala tentera dan bersenjata di Lahad Datu 12 Februari lepas, lapan anggota polis terkorban manakala 52 pengganas militan terbunuh.
  
Menegaskan pendirian Malaysia, perdana menteri berkata, operasi bagi memburu kumpulan penceroboh militan itu akan diteruskan dan Kuala Lumpur tidak akan menimbang sebarang permintaan gencatan senjata selagi kumpulan penceroboh militan tidak meletak senjata tanpa syarat.
  
Beliau berkata Malaysia menghormati prinsip kemanusiaan dan memberi cukup masa untuk berunding dengan kumpulan penceroboh militan sebelum melancarkan gerakan ofensif.
  
"Kita beri tempoh lebih tiga minggu (untuk rundingan) dan tangguh (serangan) empat kali, kita hanya bertindak bila mereka bunuh lapan anggota polis kita," kata Najib yang melahirkan rasa puas hati dengan keberhasilan operasi bersama pasukan polis dan tentera itu.
  
Laporan media dari Filipina hari ini memetik Jamalul Kiram III meminta pihaknya meletak senjata di Lahad Datu selepas beberapa anggota kumpulannya terbunuh dalam gerakan ofensif pasukan keselamatan Malaysia pada Selasa.
  
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon pula menyeru agar 'keganasan' di Sabah, dihentikan dan mencadangkan agar pihak terlibat mencari penyelesaian secara aman terhadap apa yang berlaku. - Bernama

Tiada ulasan: