SHAH ALAM : Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memberikan 1,000 permit kepada pemandu teksi dilihat ‘menciplak’ idea dasar dan program yang dibawa oleh Pakatan Rakyat (PR).
Pengumuman tersebut juga mengesahkan bahawa dasar-dasar manifesto PR yang sebelum ini dikecam oleh pemimpin Umno-BN sebenarnya mampu dilaksanakan.
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata setakat ini Umno-BN terus gagal untuk mengumumkan manifesto sendiri sebaliknya menciplak idea dasar PR.
Najib cuba mengumpan rakyat dengan janji akan melaksanakan program PR itu sekiranya Umno-BN menang dalam PilihanRaya Umum ke-13, katanya.
“Saya pasti pemandu-pemandu teksi yang ada di seluruh negara faham bahawa pengumuman Dato’ Seri Najib Tun Razak hanyalah satu gimik politik untuk menenangkan kemarahan mereka selama ini.
“Penyelesaian berpanjangan isu permit teksi ini terletak di tangan Pakatan Rakyat yang mula-mula sekali memperjuangkan isu ini,” kata Rafizi di dalam satu kenyataan media.
Manifesto PR yang diumumkan bulan lalu antaranya berkata PR akan menghapuskan sistem permit teksi yang diberikan kepada syarikat tertentu untuk mengaut keuntungan dari keringat pemandu teksi.
Permit teksi juga akan diberikan terus kepada pemandu teksi dengan tujuan melahirkan lebih ramai usahawan teksi.
Agensi kerajaan juga akan dipertanggungjawabkan untuk melatih usahawan-usahawan teksi dengan kemahiran khidmat pelanggan dan perniagaan.
“Ucapan beliau (Najib) berbaur ugutan politik apabila menyatakan bahawa pemandu teksi perlulah ‘bai’ah’ (mengikat janji) untuk mengundi Barisan Nasional jika mahu mendapatkan lebih banyak permit persendirian di masa hadapan,” kata Rafizi.
“Oleh sebab itu, saya tidak hairan lagi kenapa beliau (Najib) tidak berani berdebat secara terbuka dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai dasar-dasar dan program ekonomi.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan