SINAR HARIAN
"Banyak yang kita lakukan untuk membela rakyat dan dengan ini Insya-Allah kalau kita dapat mandat daripada rakyat, saya yakin apa yang kita impikan itu akan jadi kenyataan," katanya ketika ditemu bual stesen radio UFM dalam segmen yang ke udara selama dua jam bermula pukul 7 pagi ini, di sini.
Menyentuh mengenai isu pencerobohan kumpulan pengganas di Lahad Datu, Sabah, beliau berkata integriti wilayah Malaysia itu mesti dipertahankan dalam apa jua keadaan, dan Sabah tetap hak mutlak Malaysia.
Untuk itu, rakyat Malaysia perlu menyokong pasukan keselamatan serta usaha-usaha yang dilakukan untuk menjamin keselamatan, kedaulatan dan integriti wilayah negara, kata Najib dalam segmen 'Bersama Perdana Menteri' yang dikendalikan deejay Jimmy Shanley dan Tyzo.
Siaran radio itu hanya boleh diikuti sekitar Lembah Klang menerusi frekuensi 101.3 FM.
Dalam temu bual itu, Najib turut berkongsi kisah peribadi yang selama ini mungkin tidak pernah diketahui orang ramai, antaranya bagaimana beliau menguruskan diri di rumah.
"Saya biasanya tidur dalam lima hingga enam jam, sebelum saya tidur biasanya saya minum Milo dan saya tengok berita terakhir ataupun tengok tv sekejap atau baca buku," katanya.
Mengenai bidang pekerjaan yang mungkin diceburinya sekira tidak menjadi perdana menteri, Najib berkata beliau kurang pasti kerana sudah menceburi bidang politik untuk sekian lama iaitu sejak berumur 22 tahun.
"Saya tidak dapat bayangkan apa pekerjaan atau profesion yang mungkin saya ceburi, tapi pada peringkat awal usia, saya berhasrat nak mendapat kelulusan dalam bidang MBA (Sarjana Pentadbiran Perniagaan), kemudian hari kalau keadaan mengizinkan baru saya nak masuk bidang politik, tapi keadaan berubah apabila Allahyarham ayahanda (perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein) saya meninggal dunia," katanya.
Ditanya mengenai perkara yang ingin dilakukan tetapi belum tercapai, Perdana Menteri berkata: "Kita bercita-cita nak jadi ahli sukan, nak main golf, dapat single handicap, nak main bola pun hebat...tetapi itu semua angan-angan dan cita-cita waktu muda."
Dalam menjaga kesihatan diri, Najib berkata beliau sering melakukan senaman sekurang-kurangnya tiga kali seminggu selama sejam dengan bantuan seorang jurulatih dan ini merupakan 'Indeks Prestasi Utama' (KPI) beliau.
Perdana Menteri berkata daripada segi pemakanan, beliau kena kawal kerana badannya mudah naik.
"Sejak saya amalkan exercise (senaman) di gym, lemak badan dah berkurangan dan ganti dengan muscle (otot), saya harap dapat teruskan supaya saya dapat exercise sekurang-kurangnya tiga kali seminggu, itu saya punya KPI untuk diri saya, tapi kadang-kadang tak tercapai juga," katanya.
Mengenai keluarga, Najib berkata beliau akan menghubungi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor sekurang-kurangnya sekali sehari sekiranya berjauhan.
"Kalau saya ada program di luar dan dia tak dapat mengikuti saya, dalam sehari tu saya berhubung sekurang-kurangnya sekali atau dua kali, biasanya sekali (untuk) tanya khabar dan cerita tentang program sama ada sambutan baik ke tidak dan sebagainya," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan