Rabu, 13 Mac 2013

Musa Hitam: Tidak boleh ambil mudah isu Lahad Datu

Wartawan Sinar Harian

Tun Musa Hitam
Tun Musa Hitam
 
SHAH ALAM - Isu pencerobohan di Lahad Datu tidak wajar diambil mudah!

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam berkata, kerajaan perlu kaji dengan lebih mendalam dan melihat isu ini dengan lebih jauh.

Katanya, isu ini tidak harus ditangani seperti dahulu menerusi kaedah ketenteraan tanpa mengira kesan sampingan.

"Jangan ambil mudah seperti isu lain, jangan ucapkan syabas terlalu awal. Kita perlu sedar, ini adalah isu yang belum pernah berlaku sebelum ini.

"Kita perlu pertimbang untuk buat kajian terperinci dan melihat isu ini lebih jauh. Isu ini bukan hanya perang menembak, (tetapi) peperangan psikologi," katanya, semalam.

Musa turut menegaskan kerajaan perlu berhati-hati bagi mengelakkan kesan negatif terhadap negara.

"Apa yang kita boleh buat dengan mereka (pengganas), kerana mereka ada di sana.

"Jika isu ini jadi negatif dan anggap semua orang Sulu adalah musuh, anda akan menghadapi masalah, kerana mereka sudah ada di sana," kata beliau.

Beliau turut melahirkan rasa khuatir isu ini jadi serius.

"Apa yang perlu kita buat, saya tidak tahu bukan kerja saya, tetapi saya amat khuatir terhadap isu ini," katanya.

Tiada ulasan: