Selasa, 19 Mac 2013

Musa Hassan sifatkan pendatang asing 'ready army', mahu dikawal

RIDAUDDIN DAUD & NOOR FAIZAL GHAZALI

Musa Hassan
Tan Sri Musa Hassan
 
PUCHONG - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menggesa parti politik di Malaysia melupakan seketika ideologi politik mereka dan bersatu mengutamakan keselamatan negara berhubung isu pencerobohan militan di Sabah.

Katanya, perkara ini perlu menjadi fokus utama kerana tanpa perpaduan rakyat, ia boleh merosakkan negara sekali gus memudahkan lagi anasir luar masuk ke dalam negara.

“Janganlah terlalu ghairah berpolitik sampai keselamatan negara diabaikan.

“Pemimpin negara kita pun bergaduh sesama sendiri. Itu sebab negara kita mudah dicerobohi dan diserang,” katanya, kelmarin.

Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan kerajaan Filipina harus segera menangkap ketua pengganas, Azzumudie Kiram dalam usaha menamatkan kemelut di Lahad Datu.

Katanya, kerajaan Filipina dan Malaysia perlu berbincang bagi mendapatkan penyelesaian terbaik berhubung isu ini.

“Kerajaan perlu ambil tindakan pada mereka yang lakukan pencerobohan ini. Kita tidak mahu perkara ini dijadikan isu politik dan menjejaskan hubungan kedua-dua negara.

“Malaysia dan Filipina perlu adakan perbincangan supaya rakyat tidak curiga. Jika mereka curiga, berita palsu akan mudah tersebar,” katanya.  

Katanya, tugas menjaga keselamatan negara bukan terletak di bahu polis dan tentera saja kerana tanggungjawab itu juga berada di bahu rakyat.

Dalam pada itu, beliau berharap kerajaan dapat menyekat kebanjiran pendatang asing dan segera menghantar pulang mereka yang tiada permit ke negara asal mereka.

“Warga asing ini tiada ketaatan kepada kerajaan Malaysia kerana mereka hanya cari rezeki di sini dan pulang ke negara mereka bila mereka sudah ada wang.

“Mereka ini seperti ready army. Negara mereka boleh menggunakan mereka bila-bila masa jika ingin menawan negara kita sebab mereka memang sudah ada di sini,” katanya.

Tiada ulasan: