Dalam sidang media di ibu kota, MTEM membangkitkan beberapa isu yang ditekankan sebelum ini seperti sikap Petronas yang mementingkan pelabur asing dan bukan bumiputera, salahguna kuasa dan pelaburan berisiko tinggi yang tidak menguntungkan.
“MTEM menggesa Tun Dr Mahathir selaku penasihat Petronas supaya segera membangkitkan isu ini,” kata Mohd Nizam.
Mohd Nizam juga mendedahkan hasil pertemuan yang diadakan antara Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Datuk Shamsul Azhar Abbas dan MTEM bulan lalu menemui jalan buntu dan tidak mencapai kata sepakat.
“Hari ini juga MTEM melahirkan kekecewaan keatas Petronas yang gagal memberikan sebarang komitmen keatas beberapa tuntutan kami seperti yang dibincangkan pada pertemuan 13 Febuari lalu.
“Daripada surat balas daripada Petronas yang kami terima pada 20 Februari lalu, mereka (Petronas) tidak memberikan sebarang pendirian yang jelas terhadap apa yang kami tuntut,” tambah Mohd Nizam lagi.
Disamping itu, MTEM juga membidas Shamsul Azhar ekoran beberapa kenyataan yang mencemar imej kumpulan peniaga bumiputera tersebut, antaranya menuduh MTEM mahu mendapatkan kontrak dan projek daripada Petronas.
Sehubungan itu, Mohd Nizam berkata pihak MTEM ketika ini sedang mengkaji daripada sudut perundangan serta tidak menolak akan mengheret Shamsul Azhar ke mahkamah atas kenyataan tidak bertanggungjawab tersebut.
“Kami sedang mengkaji sekarang dan sedang mendapat nasihat peguam.
“Kenyataan tersebut telah diberikan kepada beberapa orang dan kami telah menerima maklum balas ekoran kenyataannya tersebut... secara asasnya ia telah mencemarkan kredibiliti MTEM,” kata Mohd Nizam yang mendakwa Presiden Petronas tersebut baru-baru ini dalam satu mesyuarat dengan pengurusan juga membangkitkan perkara sama.
“Disini MTEM ingin tegaskan, tidak pernah sekalipun dalam pertemuan dengan Petronas kami bercakap tentang kontrak ataupun projek,” tegas Mohd Nizam.
Pada pertemuan 13 Februari lalu, MTEM telah mengadakan perjumpaan dengan Shamsul Azhar bagi menyatakan rasa tidak puas hati ke atas Petronas kerana tidak menyokong perkembangan usahawan tempatan dan mencadangkan Program Pembangunan Minyak dan Gas 1Malaysia, serta mendapat maklum balas yang positif daripada Petronas.
Walaubagaimanapun, sebaliknya yang berlaku apabila Petronas tidak mengendahkan tuntutan serta dalam surat balas mereka tidak menyatakan sebarang kesediaan untuk memenuhi tuntutan tersebut.
MTEM juga mengulangi pendirian sama seperti 2 Februari lalu dengan menggesa Shamsul Azhar meletak jawatan atas kegagalannya dalam membantu pembangunan golongan bumiputera dan bersikap mementingkan orang asing.
Shamsul Azhar sebelum ini pernah dilantik sebagai pemangku pengerusi sementara Petronas sebelum tempatnya digantikan oleh Tan Sri Mohd Sidek yang dilantik pada Jun tahun lalu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
MTEM juga mendakwa aliran wang tunai kumpulan Petronas telah menurun pada kadar RM2.1 bilion kepada RM162.2 bilion dan keuntungan selepas cukai menunjukkan tren penurunan termasuklah penutupan operasi mereka di Sudan.
Kebimbangan juga disuarakan MTEM yang mengatakan Petronas akan mencaturkan nilaian risiko bernilai RM300 bilion untuk tempoh 5 tahun hadapan ini.
Di bawah MTEM, terdapat sebanyak 42 NGO ekonomi Melayu dan 101 NGO ekonomi bersekutu, yang mana kesemuanya telah bersepakat dengan desakan meminta Shamsul Azhar mengundurkan diri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan