Isnin, 11 Mac 2013

MPP UIA teruskan Forum PRU 13 Mac ini

Aziz Muda,


Banner Forum PRU13: Harapan Malaysia anjuran Majlis Perwakilan Pelajar UIAM.

KUALA LUMPUR: Walaupun dihalang oleh pihak universiti, Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) tetap akan meneruskan rancangannya untuk mengadakan Forum PRU13: Harapan Malaysia, dengan mengubah lokasinya ke Dewan Beringin, Sri Gombak pada 13 Mac ini, bermula jam 8.00 malam.

Forum tersebut akan menampilkan Exco MPP UIAM, Muhamad Kamil Abdul Muin sebagai moderatornya, manakala ahli-ahli panelnya terdiri daripada Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Dr Raja Ahmad Iskandar; Presiden Islamic & Strategic Studies Institut (ISSI), Dr Yusri Mohamad; penganalisis politik yang juga Pensyarah Kanan UIAM, Dr Maszlee Malik dan Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Tun Faisal Ismail Aziz.   

Pengarah Program Forum PRU13: Harapan Malaysia, Arief Imran Mohd Khairi berkata, forum tersebut pada mulanya dirancang diadakan pada 4 Mac lalu di UIAM dan telah pun mendapat kebenaran pihak pentadbiran universiti itu, namun telah dibatalkan oleh pihak universiti pada saat-saat akhir.

Menurut beliau, tindakan itu menyebabkan UIAM yang sepatutnya menjadi sebuah Taman Ilmu dan budi yang terkenal dengan diskusi-diskusi menjadi layu, dengan alasan "no politic on campus" yang menjadi penyebab kepada pembatalan program itu.  

Katanya, bagaimanapun baru-baru ini pihak universiti sendiri juga telah mencabuli prinsip itu dengan membenarkan penayangan filem ‘Tanda Putra’ yang diselitkan dengan ucapan oleh Setiausaha Kepada Perdana Menteri.

"Kami tidak menentang penayangan filem itu, tetapi kami kesal dengan tindakan membatalkan wacana itu, tetapi pada masa yang sama membenarkan penayangan filem tersebut," katanya kepada Harakahdaily.

Tindakan pihak pentadbiran universiti itu, menurut beliau, membuktikan wujudnya amalan ‘double standard’ oleh pihak pentadbiran universiti dalam meluluskan aktiviti yang dianjurkan oleh pelajar.

Katanya, baru-baru ini pula seluruh rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan tragedi serangan penceroboh di  Lahad Datu yang berlanjutan hampir sebulan.

Namun, tambah beliau, semua itu tidak dapat memesongkan tumpuan mahasiswa UIAM untuk mengadakan program itu, walaupun telah dihalang dan ditekan oleh pihak penguasa daripada membuat sebuah wacana intelektual dan ilmiah.

"Oleh yang demikian, Majlis Perwakilan Pelajar UIAM telah mengambil inisiatif untuk meneruskan wacana itu. Kejumudan ini harus kita ketepikan dan kita mengangkat budaya hujah lawan hujah dan fakta lawan fakta. Itulah sebabnya pentas ini kami sediakan," ujar beliau.

Tiada ulasan: