Selasa, 12 Mac 2013

Menjelang PRU13, jadual PM padat dengan pelbagai program

OLEH JAHABAR SADIQ
PENGARANG

KUALA LUMPUR — Jadual Datuk Seri Najib Razak padat bagi dua minggu akan datang dengan temuramah televisyen yang disiarkan secara langsung malam ini, di mana perdana menteri akan bertemu dengan rakyat di seluruh negara sebelum membubarkan Parlimen pada hujung Mac ini untuk memberi laluan pilihan raya umum dijalankan pada pertengahan April.

The Malaysian Insider difahamkan daripada beberapa Menteri Kabinet dan pemimpin parti Barisan Nasional (BN), plihan raya umum ke 13 akan berlangsung lima minggu akan datang dengan kebanyakkan calon telah dipilih dan manifesto gabungan tersebut dijangka siap pada 20 Mac.

Ini adalah tempoh kedua paling panjang melebihi lima tahun semenjak negara mengadakan pilihan raya umum dengan yang terakhir adalah tempoh diantara pilihan raya umum ketiga pada May 1969 dan pilihan raya umum keempat pada Ogos 1974.

“Jadual Najib (gambar) padat dengan penampilan yang banyak tetapi reda dari minggu terakhir bulan Mac hingga April 24 apabila Sidang Kemuncak Asean diadakan di Brunei. Pilihan raya mungkin selepas itu,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.

Sumber turut mengatakan parlimen mungkin dibubarkan seawal 25 Mac, dua hari sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan Negeri Sembilan tamat tempoh.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai 60 hari untuk mengadakan pilihan raya tetapi kemungkinan besar akan menunggu sehingga semua DUN dan parlimen dibubarkan,” kata satu sumber lain.

Sumber tersebut mengatakan empat negeri Pakatan Rakyat (PR) berkemungkinan besar akan membubarkan DUN pada waktu sama untuk memastikan pilihan raya umum dijalankan untuk semua negeri kecuali Sarawak yang telah menjalankan pilihan raya negeri pada 2011.

“Pilihan raya umum akan diadakan pada April, sama ada pada minggu kedua atau ketiga kerana BN yakin sokongan besar pada ketika itu,” tambah sumber tersebut.

Najib telah menjelajah ke seluruh negara untuk program TV3 Jelajah Janji Di Tepati sepanjang tahun selain dari lawatan ke tempat popular Malaysia dalam usaha untuk melibatkan diri dengan pelbagai demografi rakyat Malaysia.

Beliau juga telah mengumumkan beberapa inisiatif ekonomi dan undang-undang termasuk pemberian kepada orang ramai dengan yang terbaru adalah menyetarakan gaji anggota polis dan tentera dan peningkatan gaji untuk penjawat awam lain semalam.

Perdana menteri akan muncul di TV3 9.00 malam ini dengan temuramah disiarkan secara langsung dimana beliau akan menjawab soalan dari pembaca New Straits Times (NST). Kedua-dua TV3 dan NST adalah sebahagian daripada kumpulan Media Prima Bhd yang dikawal Umno.

Pengerusi BN telah menangguhkan beberapa acara beberapa minggu lalu akibat daripada pencerobohan pemberontak bersenjata Sulu yang menuntut Sabah akan tetapi acara kembali pulih seminggu selepas itu.

Najib akan menghadiri program One Million Purple Walk anjuran Kementerian Wanita dan Pembangunan Masyarakat pada 17 Mac, seminggu selepas tarikh asalnya. Beliau telah mengambil alih kementerian tersebut tahun lalu dari Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Jalil yang tidak disambung jawatan senatornya selepas keluarganya terlibat dalam satu skandal.

Pada 19 Mac, beliau akan melancarkan kad laporan tahunan untuk Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang beliau perkenalkan selepas menjadi orang nombor satu negara pada April 2009.

Perdana menteri kemudiannya dijadualkan akan menghadiri perhimpunan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) pada 22 Mac sebelum menghadiri program Janji Di Tepati di kawasan parlimennya Pekan pada 23 Mac.

Jadual terakhirnya untuk program awam pada bulan ini setakat ini adalah perlumbaan F1 Petronas Malaysia di Sepang pada 24 Mac, apabila cuti sekolah penggal pertama bermula.

Tiada ulasan: