Jumaat, 1 Mac 2013

Manifesto: PAS giat beri kefahaman kepada rakyat

Anis Nazri,
 
KUALA LUMPUR: Tawaran manifesto Pakatan Rakyat kini sedang giat disampaikan kepada rakyat melalui jentera penerangan PAS, khususnya di parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) tumpuan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata jentera parti kini dalam usaha memberi kefahaman kepada rakyat di peringkat akar umbi berkaitan Manifesto Pakatan Rakyat.

Lebih-lebih lagi, katanya selepas manifesto itu mendapat beberapa komen daripada pemimpin Umno yang ternyata bimbang dengan manisfesto yang bersifat baru dan adil untuk semua.

"Secara gerak kerjanya, PAS sudah bergerak secara tuntas sebelum ini lagi.  Dengan manifesto ini pula, kita tambah giat lagi dengan penerangan secara berkelompok berkaitannya," kata beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau juga berkata penerangan manifesto berbentuk bahan cetakan juga sedang dilakukan bagi memudahkan penerangan kepada rakyat.

Beliau berkata, sebaran berbentuk risalah juga sedang dicetak untuk kali kedua bagi memudahkan pengundi memahami dengan jelas berkenaan tawaran Pakatan Rakyat.

Tambah Pesuruhjaya PAS Pahang itu juga, secara dasarnya PAS sudah menggerakkan jentera partinya ke kawasan-kawasan tumpuan sebelum ini.

"Kita bertambah giat lagi dengan menumpukan kepada pengundi kerana pilihan raya akan diadakan bila-bila masa dalam tempoh tidak sampai dua bulan ini," tegas beliau.

Tiada ulasan: