Rabu, 27 Mac 2013

Mandat: Umpama 'rampasan kuasa tanpa senjata'

Anis Nazri,


KUALA LUMPUR: PAS beranggapan kerajaan hari ini sebagai satu 'rampasan kuasa tanpa senjata' apabila menafikan hak rakyat untuk memberikan mandat baru selepas lima tahun.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata rampasan kuasa tanpa senjata itu berlaku apabila rakyat sebagai pemilih kerajaan telah dinafikan hak mereka untuk memilih pemimpin dalam tempoh yang ditetapkan.

Beliau berkata, mandat yang diperolehi kerajaan Barisan Nasional hanya berusia lima tahun, sebelum ia terbubar sendiri pada 28 April ini, selaras dengan tarikh sidang pertama parlimen.

"Hari ini sudah genap lima tahun 19 hari sejak mandat diberikan rakyat.  Walaupun dari sudut undang-undang ia akan terbubar 28 April ini, bagi saya mandat yang diberikan hanya lima tahun, bukan lima tahun 19 hari," kata beliau pada sidang media, di Pejabat Agung PAS, hari ini.

Tambah beliau, sepatutnya tempoh lima tahun yang diberikan kepada rakyat sejak 2008 lalu telah dikembalikan kepada rakyat untuk memberi mandat baru.

Dalam pada itu, Mahfuz melahirkan kebimbangan sekiranya kerajaan banyak membuat keputusan yang melibatkan implikasi kewangan dalam suasana mandat rakyat sudah berakhir.

"Saya menuntut kerajaan untuk memaklumkn apa-apa projek, pembinaan yang telah diluluskan selepas 8 Mac lalu, termasuk di Lima, Langkawi.

"Bagi saya, tidak wajar perkara seperti ini (projek selepas 8 Mac lalu). Kerajaan 'caketaker' pun tidak boleh meluluskan sebarang projek, sebaliknya sekadar menjalankan apa yang sudah ada sebelum ini," tegas Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Beliau juga menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) segera mengumumkan tarikh penamaan calon bagi Negeri Sembilan memandangkan Dewan Undangan Negeri Sembilan akan terbubar dengan sendirinya esok.

Tiada ulasan: