Khamis, 14 Mac 2013

Mana janji Pusat mahu bina 947 rumah kos rendah




 

Harakahdaily,   

KUALA LUMPUR: Atas dasar keperluan golongan yang berpendapatan RM3,000 ke bawah, Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP) mendesak Kerajaan Pusat segera membina sebanyak 947 unit rumah pangsa kos rendah yang telah diluluskan semenjak tahun 2004 lagi.

Presidennya, Rahmad Isahak (gambar) berkata, jumlah unit berkenaan membabitkan dua buah projek perumahan di kawasan Teluk Kumbar yang telah dan sepatutnya dimajukan oleh syarikat-syarikat yang ada kepentingan dengan Kerajaan Pusat.

“Pihak kami berharap agar menteri yang bertanggungjawab berkenaan dapat memberikan khabar gembira sebelum parlimen dibubarkan ke atas janji yang tidak ditunaikan semenjak 9 tahun lalu kepada rakyat Pulau Pinang,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Kenyataan penuh seperti di bawah.

Atas dasar keperluan golongan yang berpendapatan RM3,000 ke bawah, maka pada hari ini KMPP mendesak Kerajaan Pusat segera membina sebanyak 947 unit rumah pangsa kos rendah yang telah diluluskan semenjak tahun 2004 lagi.

Jumlah unit berkenaan membabitkan dua buah projek perumahan di kawasan Teluk Kumbar yang telah dan sepatutnya dimajukan oleh syarikat-syarikat yang ada kepentingan dengan Kerajaan Pusat.

Kedua-dua projek yang dimaksudkan adalah seperti di bawah:

1.     Teluk Kumbar Heights  - Kelulusan merancang (JPB/PM/2689 (LB)) telah diberikan pada 8.3.2004. Tanah diatas lot-lot 202, 236, 403, 516, 711, 712, 713, 714, 715, 761, 765, 980, 981, 982, dan 983, mukim 11,Daerah Barat Daya , Jalan Teluk Kumbar, Pulau Pinang. Jika mengikut pelan asal pembangunan bercampur berkenaan mengandungi sebanyak 2,212 unit iaitu termasuk 712 unit kos rendah.

Mengikut apa yang difahamkan projek tersebut adalah di bawah skim Tabung Pusingan Perumahan Kos Rendah (TPPKR) yang diuruskan oleh TPPT Sdn. Bhd iaitu sebuah syarikat dibawah pengawasan Bank Negara Malaysia. Projek ini dilaksanakan secara usahasama dengan syarikat Southdowns Corporation Sdn. Bhd sebagai pemaju projek dan TPPT sebagai pemilik tanah.

Persoalannya kenapa sudah hampir 9 tahun janji tuan tanah untuk membina 1 blok rumah pangsa kos rendah – 19 tingkat yang mengandungi 712 unit dengan keluasan 650 kaki persegi yang berharga RM 35,000 seunit tidak dapat dibangunkan? Dari semakan, pihak kami dimaklumkan pada tahun 2010 pihak pemaju telah memaklumkan pejabat perumahan negeri bahawa pembinaan rumah kos rendah berkenaan telah ditangguhkan tanpa memberi sebab yang munasabah. Pehak kami dukacita kerana asas kepada inisiatif pehak tuan tanah keatas projek berkenaan adalah dibawah skim Tabung Pusingan Perumahan Kos Rendah. Tetapi kenapa tidak direalisasikan? Hanya indah khabar dari rupa sahaja. Bukankah  yang menjadi mangsa adalah rakyat yang berpendapatan rendah.

2.     Tanah milik Mutiara Premier Sdn. Bhd. - Tanah ini dahulunya adalah kepunyaan I&P Development Sdn. Bhd. Dimana pelan perancangannya telah diluluskan sekitar tahun 2005 (JPB / PM / 3908 / (LB)). Tanah diatas lot 405, 2303, 638, 639, 640 dan 641, mukim 11, Daerah Barat Daya,  Jalan Teluk Kumbar, Pulau Pinang.

Di maklumkan menerusi semakan pehak kami bahawa Pelaburan Hartanah Bumiputera Berhad (PHBB) telah mengambilalih menerusi pembelian bersama dengan kelulusan projek berkenaan daripada I&P Development Sdn. Bhd. PHBB telah melantik sebuah syarikat yang mempunyai kaitan iaitu Mutiara Premier Sdn. Bhd. sebagai tuan tanah yang berdaftar.

Bagi tujuan pembangunan, PHBB telah melantik MRCB sebagai rakan kongsi (melalui turnkey agreement) untuk mengurus takbir projek berkenaan. Komposisi projek bercampur mixed development di atas tanah seluas 62.7 ekar (keluasan yang boleh diguna pakai daripada keseluruhan 105 ekar) termasuk konsep asal untuk membina dahulu sebanyak 235 unit rumah pangsa kos rendah dengan keluasan 700 kaki persegi dengan harga seunit RM35,000.

Amat malang sekali hampir 8 tahun telah berlalu keadaan tapak projek samalah seperti ‘padang jarak padang terkukur’ sahaja. Tiada satu tiang pun yang didirikan. Perlu diingatkan bahawa tujuan asal PHBB diwujudkan adalah bagi memajukan tanah-tanah di negeri ini bagi kepentingan orang-orang melayu disini memiliki rumah mampu milik. Tetapi apa yang berlaku sangat mendukacitakan dimana keperluan orang melayu untuk memiliki rumah yang diselenggarakan oleh syarikat dibawah naungan kerajaan pusat tidak menjadi kenyataan walaupun pelan perancangan telah diluluskan hampir 9 tahun yang lalu.

Gesaan KMPP

Apa yang telah terjadi keatas kedua-dua projek berkenaan adalah amat jelas bahawa kehendak golongan rakyat yang berpendapatan RM3,000 ke bawah telah dinafikan secara terang-terangan. Ini bermakna seramai 947 pemohonan dari pemohon yang layak di kawasan Teluk Kumbar terpaksa berputih mata disebabkan janji yang tidak ditunaikan tersebut.

Pihak kami berpendirian bahawa tiada sebab yang munasabah mengapa kedua-dua projek berkenaan tertangguh hampir 9 tahun kerana pemajuan tersebut dikendalikan sepenuhnya oleh syarikat-syarikat yang mempunyai kepentingan dengan kerajaan pusat. Secara rasional pehak kami katakan bahawa semua peruntukan kewangan bagi melaksanakan projek berkenaan adalah melibatkan wang rakyat. Adalah amat mendukacitakan dimana akhirnya hak rakyat yang memerlukan telah dinafi secara total. Siapakah yang harus dipersalahkan?

Maka hari ini KMPP mendesak dalam memohon budi bicara kerajaan pusat supaya segera membina 947 unit berkenaan. Kami juga mendesak menteri perumahan dan kerajaan tempatan bertanggungjawab sepenuhnya dalam isu berkenaan. Isu rumah kos rendah adalah isu utama yang menjadi pertikaian di negeri ini oleh pemimpin politik.

Pihak kami juga secara lantang dan jujur mengatakan bahawa 20,000 unit rumah mampu milik yang dijanjikan pada masa hadapan bukanlah satu perkara utama lagi, malah isu 947 unit kos rendah di Teluk Kumbar harus dilaksanakan terlebih dahulu.

Pihak kami berharap agar menteri yang bertanggungjawab berkenaan dapat memberikan khabar gembira sebelum parlimen dibubarkan ke atas janji yang tidak ditunaikan semenjak 9 tahun lalu kepada rakyat Pulau Pinang.

Tiada ulasan: