Khamis, 21 Mac 2013

Mahasiswa Occupy di RTM esok tuntut debat dengan PM

KEADILAN DAILY

Esok 22 Mac genap 21 hari mahasiswa telah serahkan surat permohonan pada 1 Mac lalu kepada Rancangan Televisyen Malaysia (RTM) supaya menganjurkan satu debat antara mahasiswa dengan Perdana Menteri Malaysia, PM Najib Tun Razak.

Namun sehingga hari ini pihak kami belum menerima apa-apa jawapan balas daripada pihak RTM berhubung surat permohonan yang telah kami buat.

Tujuan surat permohonan tersebut dihantar adalah supaya RTM sendiri menyediakan satu ruang debat antara mahasiswa bersama Perdana Menteri.

Mahasiswa 1

Debat tersebut adalah bertujuan membincangkan halatuju Pendidikan Tinggi Negara khususnya isu-isu yang berlaku dalam universiti sejak akhir-akhir ini.

Keadaan ini menggambarkan kepada kita bahawa sistem pendidikan tinggi negara mulai goyah dan tercemar terutama apabila wujudnya campur tangan politik parti pemerintah.

Mahasiswa berpandangan bahawa pelan strategik pendidikan tinggi negara mempunyai masalah yang jelas ketara apabila laporan terkini 2013 mengenai ranking universiti di Malaysia jauh tersasar dari kelompok seratus yang teratas.

Pun begitu, sisi pandang mahasiswa bukanlah menjadi tujuan sebenar penubuhan universiti adalah bagi mengejar ranking dunia, bahkan itu adalah antara punca kerosakan sistem pendidikan tinggi hari ini.

Banyak dapatan di universiti hari ini membuktikan kalangan pensyarah-pensyarah juga mempersoalkan mengenai halatuju universiti apabila ia terlalu dilihat sebagai kilang industri yang menghasilkan pekerja ibarat robot-robot.

Akhirnya pekerja yang dilahirkan di universiti hari ini telah hilang nilai keinsanan seperti yang diletakkan dalam objektif bagi melahirkan modal insan yang cemerlang.

Sepatutnya, universiti menjadi tempat bercambahnya ilmu pengetahuan dengan meluas. Universiti harus menjadi penyelesai tatkala warga politik yang bergaduh sehingga mengenepikan kepentingan rakyat keseluruhannya. Universiti juga yang akan menyelesaikan masalah-masalah kronik dalam masyarakat.

Bahkan suasana dalam universti sendiri akan menceritakan gambaran sebenar apa yang sedang berlaku dalam kelompok masyarakat di Malaysia.

Harapan itulah yang sedang mahasiswa garapkan. Kami mahu meletakkan nilai aras tertinggi bagi setiap universiti dalam Malaysia. Kami tidak mahu universiti dicemari tangan-tangan ahli politik walaupun mereka yang bakal mentadbir negara, tidak kira kerajaan mahupun pembangkang.

Kami mahu universiti bebas! Ayuh mahasiswa, kita turun bersolidariti untuk mara ke RTM Angkasapuri esok jam 2 petang bagi mendesak PM Najib berdebat dengan mahasiswa di RTM dan disiarkan ke seluruh negara. RTM milik rakyat!

Safwan Anang
Pengerusi
Solidariti Mahasiswa Malaysia

Tiada ulasan: