Ahad, 24 Mac 2013

Mahasiswa Diarah Keluar Dari Masjid Oleh Umno Seberang Takir

 Editor BULETIN

http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita17/gamis%20dihambat.jpgGabungan mahasiswa Islam Se-Malaysia GAMIS Terengganu, telah diarahkan keluar dari Masjid Tok Jembal Kampung Tok Jembal Seberang Takir, Kuala Terengganu pada 22 Mac 2013.

Sepatutnya GAMIS Terengganu akan menjalankan program, Forum Keluarga Bervisi, Pemangkin Transformasi Ummah di masjid berkenaan pada 23 mac 2013. Namun ia telah dihalang oleh YB Razif, Adun Kawasan Seberang Takir sehari sebelum program berlangsung dengan alasan program tersebut dianjurkan oleh Gamis yang mana ia telah disenarai hitamkan oleh Umno Terengganu sebagai entiti yang dianggap oleh Umno telah memalukan Kerajaan Negeri Terengganu.

Ia adalah berikutan Gamis telah mengadakan  demonstrasi aman untuk menyerahkan memorandum mahasiswa kepada YAB Perdana Menteri ketika lawatan kerja Perdana Menteri pada Februari yang lalu.

Alasan lain yang diberikan oleh beliau adalah ahli panel jemputan, Imam Muda Ammar dan Ustazah Maryam Saari dari program realiti Imam Muda dan Ustazah Solehah adalah tidak mendapat tauliah daripada Sultan Terengganu dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Tambahan pula katanya, Musim PRU13 sedang berlangsung pada ketika ini dan permohonan untuk menggunakan masjid Tok jembal tidak melalui permohonan kepadanya sedangkan pihak penganjur telah membuat permohonan dan diluluskan oleh pihak JHEAT.

Dakwanya lagi, beliau bimbang  GAMIS Terengganu akan membuat ceramah berbaur politik di dalam masjid berkenaan. Oleh yang demikian, program tersebut terpaksa dibatalkan.

Pihak Gamis Terengganu, mengecam sekeras-kerasnya tindakan YB Razif yang hanya mahu menjaga survival politik beliau dalam menghadapi PRU13 kali ini.
Program yang bertujuan mendidik masyarakat dipandang enteng dan dianggap politik sedangkan tajuk program dan panel forum tidak ada sebarang kaitan dengan mana-mana entiti politik di Malaysia.

Tindakannya ini bukan membantu mengukuhkan kedudukan beliau, tapi ia akan menghumban beliau ke lembah kekalahan pada PRU 13 kali ini.

Muhammad Raimi bin Abdul Rauf,
Pengerusi GAMIS Terengganu

Tiada ulasan: